[VIDEO] Dirogol 7 lelaki serentak, pasangan instafamous hanya terima pampasan RM57,000


  • Benua
  • Jumaat, 08 Mac 2024

Tangkap layar video memaparkan wajah pasangan terbabit yang penuh dengan kesan luka dan lebam akibat kejadian. — Agensi

WARGA MAYA di seluruh dunia baru-baru ini digemparkan dengan berita seorang pengembara bermotosikal wanita dan pempengaruh terkenal, Fernanda dan pasangannya, Vicente diserang oleh tujuh orang lelaki di Jharkand, India.

Lebih malang lagi, wanita yang berusia 28 tahun berkenaan turut menjadi mangsa rogol beramai-ramai oleh suspek.

Dalam perkembangan terkini, polis berjaya memberkas tujuh suspek dan tiga daripada mereka ditahan beberapa hari selepas kejadian.

Pada masa sama, polis India memberikan pampasan Rs.10 lakh (RM57,000) kepada wanita asal Sepanyol berkenaan.

Memetik laporan media antarabangsa, Timbalan Pesuruhjaya Polis India, A Dodde menyerahkan cek Rs.10 lakh itu kepada suami mangsa.

Suami mangsa menerima pampasan dan mengucapkan terima kasih kepada polis kerana segera menyiasat kes tersebut, lapor India Today.

Ketika kejadian malang itu berlaku, mangsa sedang mengembara dengan menaiki motosikal bersama suaminya.

BACA LAGI : [VIDEO] Instafamous trauma, diperkosa bergilir-gilir 7 lelaki durjana depan mata suami di India

BACA LAGI : Pemandu lori tolak kekasih dari tingkat 23 kondo di Setia Alam berdepan tali gantung

Beliau dipercayai dirogol beramai-ramai semasa sedang berehat dalam khemah bersama suaminya di satu lokasi yang terletak sekitar 300 kilometer (km) dari ibu kota Ranchi.

Timbalan Pesuruhjaya itu berkata, pasangan tersebut akan meninggalkan Dumka pada Selasa (12 Mac) di bawah perlindungan polis.

"Kami bersedia menyediakan sebarang bantuan yang diperlukan mereka," katanya.

Difahamkan, mangsa dan suaminya, 64 tahun, mengembara ke Dumka dengan menaiki motosikal dari Bangladesh. Mereka seharusnya ke Bhagalpur di Bihar selepas berehat di Dumka. Destinasi akhir mereka adalah Nepal.

Pasangan itu sedang melancong untuk menjelajah Asia dan mereka mempunyai visa pelancong untuk ke India. Mereka awalnya ke Pakistan dan dari situ meneruskan perjalanan ke Bangladesh, sebelum tiba di Dumka.

Polis hanya berjaya memberkas tiga suspek sejauh ini manakala empat yang lain sedang diburu.

Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi Jharkhand pada Isnin (4 Mac) mengemukakan sendiri kes rogol beramai-ramai wanita Sepanyol itu dan meminta pemerintah memfailkan laporan, menurut India Today.

"Sebarang jenayah terhadap warga asing boleh mempunyai kesan serius di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk menjejas ekonomi pelancongan negara. Satu tindakan seksual terhadap wanita asing akan menjejas imej negara, sekali gus nama baik India di mata dunia," tegas mahkamah.

Kes rogol beramai-ramai itu sekali lagi memberi tumpuan kepada keganasan seksual di India.

Secara purata, kira-kira 90 rogol setiap hari direkodkan pada 2022, menurut data dari Biro Rekod Jenayah Kebangsaan.

Negeri Rajasthan, Uttar Pradesh dan Madhya Pradesh mencatatkan jumlah tertinggi kes rogol. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram