KELUARGA seorang lelaki yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori di Juru, Pulau Pinang pada Rabu meminta saksi kejadian itu untuk tampil memberi maklumat bagi menuntut pembelaan atas kematian mangsa.
Abang mangsa, Matt Deheyy melalui satu hantaran Facebook meminta orang awam yang mempunyai rakaman papan pemuka (dashcam) atas saksi kejadian menghubunginya.
"Hari ini terima khabar duka untuk kami sekeluarga, minta sedekahkan al-Fatihah dan doa untuk adik saya Muhd Shahiezyy, ya ALLAH.
"Ampunilah dia, berilah rahmat, sejahtera dan maafkanlah dia dan jadikanlah syurga sebagai tempat peristirahatannya, meninggal tengahari tadi (Rabu) sebab kemalangan motor dengan treler," tulisnya.
Difahamkan, mangsa yang berasal daripada Tumpat, Kelantan maut di tempat kejadian ekoran kecederaan parah yang dialaminya.
Detik-detik selepas kemalangan ngeri itu juga sempat dirakam oleh orang awam di lokasi kejadian.
Melalui video tular sejak Khamis itu, mangsa terbaring berlumuran darah di bahu jalan namun tidak dapat dipastikan lagi punca sebenar kemalangan ngeri itu.
Pada masa sama, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram