[VIDEO] Kucing mangsa gempa bumi enggan berpisah dengan penyelamatnya


  • Benua
  • Ahad, 19 Feb 2023

Sejak dikongsikan pada Khamis lalu, klip gelagat kucing yang dikongsikan di Twitter itu mendapat lebih daripada 3.1 juta tontonan.

SELEPAS hampir dua minggu dilanda gempa bumi yang dahsyat, pihak berkuasa Turkiye terus berhadapan kesukaran memastikan tahap keselamatan mangsa yang masih hidup dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat insiden tersebut.

Setakat ini, gempa bumi yang berlaku pada 6 Februari lalu itu mengorbankan lebih 41,000 mangsa di Turkiye dan Syria.

Namun begitu, di sebalik penyebaran gambar dan video pilu berkenaan penemuan mangsa korban dalam kejadian itu, terdapat juga beberapa visual menyentuh hati dan memberikan harapan muncul di sosial media.

Antara tular baru-baru ini adalah gelagat seekor kucing yang terselamat daripada runtuhan bangunan di kawasan terjejas.

Video mula dikongsikan seorang pegawai Ukraine, Anton Gerashchenko di Twitter menunjukkan kucing tersebut enggan meninggalkan penyelamat yang dipercayai mengeluarkan haiwan tersebut daripada runtuhan.

Berdurasi selama 36 saat, video itu memaparkan kucing berkenaan tidak mahu berganjak daripada bahu anggota tersebut sambil menghidu-hidu muka individu tersebut.

Anggota penyelamat terbabit juga kelihatan tersenyum dengan telatah kucing itu.

“Seekor kucing diselamatkan dari bawah runtuhan di Turkiye. Ia kini enggan meninggalkan penyelamatnya,” menurut ciapan tersebut.

Sejak dikongsikan pada Khamis lalu, klip itu telah mendapat lebih daripada 3.1 juta tontonan dengan ia dilihat mendapat perhatian warganet yang memuji anggota penyelamat.

Seorang pengguna sosial media berkata, "Indah sungguh sifat manusia dan kucing pun tahu menghargainya."

Sementara itu, seorang pengguna lain pula menulis, "Ini menakjubkan!"

“Kucing juga begitu bijak untuk bertahan daripada kebakaran dan bencana," ujar seorang lagi warganet. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram