TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini memberikan kejutan terhadap parti itu yang sedang membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai sebuah gabungan yang penting, situasi itu sememangnya menjejaskan tahap kelancarannya bagi bersaing di enam PRN akan datang.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, pembekuan itu menyebabkan partinya menghadapi beberapa isu antaranya dalam usaha meneruskan kerja politik terutamanya dalam membayar sewa pejabat, gaji kakitangan dan perkara berkaitan pengurusan parti.
Perkara itu turut diakui oleh Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyifatkan bahawa ia sedikit sebanyak membantutkan persediaan untuk memasuki musim PRN tidak lama lagi.
Namun begitu, beliau berpandangan bahawa tahap persediaan PN berjalan dengan sangat baik dengan jentera gabungan itu rata-ratanya masih berada dalam 'mood' Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, situasi positif itu boleh dilihat lebih-lebih lagi di negeri yang pentadbirannya dipegang gabungan itu.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, tahap persediaan PN berjalan dengan sangat baik dengan jentera gabungan itu rata-ratanya masih berada dalam 'mood' PRU15.
"Gerak kerja sedang berjalan dengan lancar. Di negeri-negeri yang kami memerintah, kami juga sedang melakukan susun atur jentera," katanya kepada Majoriti.
Daripada enam negeri yang bakal mengadakan PRN pada tahun ini, PN yang turut dianggotai Bersatu menguasai tiga negeri melalui parti komponennya Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
PRU15 lalu menyaksikan gabungan itu menunjukkan prestasi menyakinkan di ketiga-tiga negeri berkenaan apabila berjaya menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu dan hampir memenangi kesemua kerusi dipertandingkan di Kedah.
Ditanya mengenai sejauh mana pembekuan akaun bank tersebut memberikan masalah kepada gabungan itu khususnya dalam melaksanakan kempen fizikal dengan berkesan, Wan Ahmad menjangkakan isu itu hanya akan dirasai secara minimum.
Malah, beliau berpandangan, juga dilihat tidak mempunyai isu antaranya untuk melancarkan'perang bendera' seperti mana yang dilakukan dalam PRU baru-baru ini.
"Rasanya yang lama masih ada (bendera), kami masih simpan. Maksudnya dari segi perang bendera dan sebagainya tidak ada isu kerana kami memang ada stok lama, jadi tidak ada masalah," ujarnya.
Pada PRU15, pihak lawan mendakwa PN melakukan belanja besar termasuk dalam pembelian bendera, pakaian dan barangan ketika kempennya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram