[VIDEO] Gara-gara cemburu buta, suami sanggup kurung isteri bersama 8 anak dalam rumah sewa sempit


  • Benua
  • Selasa, 31 Jan 2023

Parlina dan anaknya itu berjaya diselamatkan oleh penduduk di kawasan rumah sewa tersebut. — Agensi

TULAR satu video memaparkan seorang lelaki tergamak mengurung isteri dan lapan anaknya di dalam sebuah rumah sewa yang sempit selama beberapa hari.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Bandar Lampung, Indonesia baru-baru ini.

Dalam video yang dimuat naik Siti Rohma Dayanti menerusi akaun Tiktok memaparkan seorang wanita terpaksa menghulurkan makanan di bawah pintu rumah sewa tersebut.

Difahamkan wanita malang dan lapan anaknya itu dikurung oleh suaminya di dalam sebuah rumah sewa. Pintu rumah tersebut dikunci dari luar.

"Seorang isteri dan lapan anaknya dikurung dalam rumah. Pintu dikunci. Suaminya juga sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah," tulisnya.

Lebih menyedihkan lagi, anak bongsu kepada pasangan tersebut mengalami demam panas.

Memetik laporan media antarabangsa Lampung Geh, kejadian itu berlaku di Kedamaian, Tanjung Karang Timur, Bandar Lampung.

Wanita dan anaknya itu berjaya diselamatkan oleh penduduk di kawasan rumah sewa tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Teluk Betung Timur, Doni Arianto berkata, pihaknya sudah menerima laporan itu.

"Pihak polis sudah dikerahkan ke lokasi kejadian dan suami kepada wanita tersebut juga sudah ditahan.

"Kes ini masih dalam siasatan polis.

01gqw4a5a1vramjzezd3g8kt77

Rudi bertindak mengurung isterinya kerana cemburu dan takut isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. — Agensi

"Kesemua mangsa juga sudah dipindahkan ke tempat selamat. Anak bongsu yang sakit dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Arianto, suspek bertindak mengurung isterinya kerana cemburu dan takut isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

Kejadian itu berlaku pada 22 Januari lalu, suspek dikenali sebagai Rudi keluar daerah dan meninggalkan isterinya, Parlina bersama anak-anak mereka.

"Berdasarkan pengakuan isteri, suspek mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. Akibat cemburu, Rudi tidak membenarkan isterinya keluar dari rumah," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram