AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyuarakan kebimbangan pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan baru-baru ini akan menjadi kebiasaan dalam tadbir urus kerajaan.
Manakan tidak, selama ini rakyat sering disajikan berita dengan pelantikan orang-orang tertentu dalam organisasi melibatkan 'cable' besar dalam kalangan keluarga atau kawan-kawan terdekat.
Justeru itu, Radzi yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan sama ada pelantikan ahli keluarga pemimpin negara ke sesuatu jawatan akan menjadi kebiasaan baharu.
Nurul Izzah dilantik oleh bapanya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memegang jawatan tersebut berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Selain itu, bekas Menteri Pendidikan itu berkata, ada juga pihak yang berpandangan pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ke jawatan berkenaan tidak salah.
"Ada yang menyatakan bahawa Nurul Izzah bukan terima gaji sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada ayahnya di Kementerian Kewangan. Jadi, apa salahnya.
“Sekiranya itu hujah yang digunakan, adakah bermakna selepas ini Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri boleh melantik anak isteri mereka sebagai penasihat tanpa gaji di kementerian masing-masing atas pelbagai justifikasi?
“Adakah ini akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan?” soalnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, dalam temu bual eksklusif dengan Sunday Star, Nurul Izzah, 42, berkongsi mengenai peranan barunya dalam kerajaan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Pada masa sama, Nurul Izzah turut memaklumkan pada media dia tidak menerima sebarang elaun untuk jawatan tersebut.
Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau sendiri mempelawa anaknya untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram