'Saya suka bola sepak', bukan saja kelab, KJ pertimbang parti politik baharu


  • Massa
  • Isnin, 30 Jan 2023

Perkongsian dimuat naik oleh TMJ berhubung lamaran untuk KJ menyandang jawatan CEO bagi kelab JDT di laman Instagram peribadinya pada Sabtu malam.

BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sedang mempertimbangkan pilihan dan peluang yang ada termasuk tawaran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan penasihat pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT).

Khairy bagaimanapun berkata, bukan mudah untuk memulakan satu perkara baharu selepas 23 tahun terlibat dalam politik.

"Ya saya ada mendapat beberapa tawaran daripada pelbagai pihak daripada politik, akademik, perniagaan dan korporat.

"Saya belum buat keputusan lagi. Semua orang tahu saya suka bola sepak dan bebas untuk menukar haluan, jadi saya sedang lihat kelab yang sesuai dan menimbang pilihan dan peluang yang ada untuk maju ke hadapan.

"Belum ada keputusan apa-apa lagi, ini bukan satu yang mudah untuk ditukar begitu saja," kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Beliau berkata demikian pada program 'Breakfast Grille' di radio BFM pada Isnin.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai mana-mana parti politik dan kriteria parti politik pilihannya, Khairy memaklumkan akan mempertimbang parti yang dapat memenuhi wawasannya untuk negara.

"Politik ini hal yang serius... saya masih mahu terbabit dalam politik. Bila dan di mana saya akan kembali dalam barisan hadapan politik, itu saya memerlukan sedikit masa.

"Saya memerlukan masa untuk bergerak ke hadapan. Saya kena melihat kepada realiti, dan ia perlu dilakukan dengan berhati-hati," katanya.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu menjelaskan sukar melupakan khidmat dalam politik kerana bukan keputusannya meninggalkan parti sebaliknya beliau 'dibuang' parti.

"Sudah tentu menyertai parti baharu, kita akan berasa sedikit janggal pada mulanya, tambahan pula bagi meyakinkan parti itu.

"Inilah politik terkait dengan pemujukan orang dan sekali lagi, ia perlu sesuai dengan wawasan saya dan bukannya terkait isu mengambil kesempatan serta merebut peluang saja," katanya.

Ditanya jika dia akan menubuhkan parti sendiri, Khairy berkata ia sememangnya satu pilihan, selain menyertai parti politik sedia ada.

"Sekarang, saya dalam mod mendengar. Saya akan dengar apa yang orang nak cakap," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram