SEIRING dengan zaman teknologi yang berkembang, media sosial dijadikan platform untuk berkomunikasi atau berurusan dalam talian antaranya melalui platform Facebook, Twitter, Instagram atau TikTok.
Malah penangan media sosial seperti Facebook, Tiktok, Instagram dan Twitter sebenarnya banyak mengubah hidup dan corak pemikiran sesetengah individu kerana ingin mengejar glamor dan mendapatkan 'view' yang tinggi.
Manakan tidak, melalu platform media sosial ini mereka boleh menjana pendapatan yang tinggi sekiranya mempunyai ramai pengikut.
Sehubungan itu, sesetengah pempengaruh (influencer) sanggup membuat apa sahaja demi menaikan kadar kepopularan media sosial mereka.
Terbaharu, beberapa individu yang disyaki sebagai pemburu paranormal pergi ke sebuah sebuah pusat peranginan dekat Mukah di Sibu, Sarawak yang didakwa mempunyai kisah mistik yang tersendiri.
Walaupun video itu sudah dipadamkan di aplikasi TikTok, namun ia dimuat naik semula melalu halaman Facebook Borneo pada lewa Khamis malam.
Melalui video berdurasi seminit 32 saat itu dipaparkan tiga lelaki memasuki ruang hotel berkenaan selepas keluar lif menuju ke bilik mereka.
Menurut salah seorang daripada lelaki itu, hanya mereka sahaja yang menginap di hotel berkenaan.
Antara kapsyen yang ditulis dalam video berkenaan ialah meminta orang ramai yang lemah semangat untuk tidak melihat video berkenaan.
"Yang tak kuat jangan tengok dan dengar. Kejadian berlaku di pusat peranginan di Mukah. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang beriman.
Semasa mereka hendak membuka pintu bilik, tiba-tiba kedengan suara seolah-olah seorang wanita mengerang kesakitan.
Jeritan suara itu semakin lama semakin kuat apabila perakam tersebut menghalakan kameranya pada pintu bilik sebelah.
Oleh kerana ketakutan, ketiga-tiga lelaki berkenaan terus membacakan doa selepas masuk ke dalam bilik.
Mereka turut mendakwa pernah berlaku kes bunuh di hadapan bilik mereka menginap.
Namun begitu, suara seram tersebut bukanlah suara mistik atau hantu seperti yang dikatakan tetapi suara itu milik seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut menginap di hotel berkenaan.
Melalui perkongsian seorang wanita Norhaniza Mohd Saleh di Facebook, dia terkilan dengan rakaman video tersebut kerana memperdayakan orang ramai dan seperti memperlekehkan anak buahnya.
"Berkenaan video tular di hotel Mukah, Sibu yang ada suara hantu, content sampah. Itu suara anak buah aku yang 'down syndrome' yang tengah happy bermain dalam bilik hotel.
"Gara-gara ingin meraih like terus kata suara anak istimewa macam hantu. Dah dapat like dan view banyak happy. Mohon yang share video tersebut untuk padamkan.
"Tak ada yang seram pun sebab memang suara manusia. Harap beri kerjasama," tulisnya yang meminta kumpulan itu membuat permohonan maaf atas tindakan mereka itu.
Tambah Norhaniza lagi, pihak hotel sudah memberitahu ketiga-tiga lelaki berkenaan bilik yang didakwa berhantu itu ada orang lain yang menginap di sana.
Dia juga meluahkan rasa kesal kerana video itu diputar belitkan semata-mata mahu dapatkan Like dan Follower yang tinggi.
Sementara itu Norhaniza ketika dihubungi Majoriti berkata, kakaknya yang juga merupakan ibu kepada kanak-kanak istimewa tersebut sudah menghubungi pemilik video terbabit namun tidak mendapat sebarang respon daripada mereka.
"Kakak saya sudah cuba menghubungi pemilik video berkenaan dengan menghantar mesej kepada mereka melalui media sosial.
"Sehingga sekarang mereka tidak memberi maklum balas dan kami agak terkilan dengan perkara ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram