ANAK keempat kepada Perdana Menteri, Nurul Ilham Anwar meluahkan rasa kecewa di laman Twitter peribadi miliknya selepas mendakwa menjadi mangsa buli pengguna jalan raya yang lain pada Jumaat.
Nurul Ilham yang merupakan anak kepada kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut memuat naik satu video yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Proton Iriz warna hijau memandu secara berbahaya.
"Saya bukanlah jenis orang yang suka berkongsi perkara ini tetapi saya dibuli di jalan raya hari ini (Jumaat). Kereta ini asyik tekan brek di lorong laju.
“Amat bahaya dan saya mempunyai anak berusia dua tahun bersama saya. Berada di sana selama seminit sebelum pemandu wanita terbabit bertukar ke lorong lain,” ciapnya.
Menerusi video berdurasi 14 saat itu, kenderaan terbabit dilihat beberapa kali menekan brek di lorong laju sebelah kanan.
Tambahnya lagi, kejadian tersebut bermula apabila dia bertembung dengan wanita Proton Iriz yang dipandu seorang wanita di sebuah sebuah plaza tol.
Pemandu kereta terbabit secara tiba-tiba membunyikan hon ke arah kenderaannya.
“Mula-mula nampak kereta ini dekat pintu tol apabila dia membunyikan hon ke arah saya untuk menuju ke lorong Touch N Go.
“Saya memberi isyarat untuk pergi ke kiri, tetapi saya tidak nampak sebarang isyarat dia ingin pergi ke arah lorong Smart Tag.
“Rasanya dia marah tentang perkara itu,” jelasnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya geram dengan tindakan pemandu wanita tersebut.
Seorang pengguna, @Sauffie_84 menyarankan agar Nurul Ilham membuat laporan pada pihak polis.
"Puan buat laporan polis, orang macam ini jangan lepaskan. Buka kertas saman sejuta biar dia muflis," katanya.
Seorang lagi pengguna, @Jintaijuu892111 meminta pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya pada isu tersebut.
"Pemanduan yang samseng dan boleh dianggap road bully.Rasanya dah viral kejadian ini pasti polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya pada pemandu kurang ajar itu," tulisnya.
Lebih mengejutkan lagi seorang pengguna Twitter @n_nisaaaa bertindak untuk memeriksa cukai jalan dan insuran kenderaan tersebut yang sudah tamat tempoh.
"I checked, kereta hijau tu insurance dah expired, so roadtax pun expired jugalah maksudnya. Pastu road bully anak PM pulak tu. What is this behaviour?," soalnya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram