PERBUATAN seorang lelaki mencuri duit tabung dipercayai di sebuah surau di Miri, Sarawak pada Khamis berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV).
Kejadian terbabit tular selepas rakaman CCTV memaparkan wajah suspek yang memakai berbaju merah berseluar hitam, pura-pura sembahyang sebelum memecahkan tabung dalam masjid dikongsikan oleh orang awam melalui grup platform aplikasi Telegram, Update Info.
Video berdurasi 30 saat itu memaparkan lelaki berkenaan mengumpil tabung derma yang diletakkan di ruang hujung berdekatan dengan tingkap surau.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 8 pagi berdasarkan maklumat yang tertera di CCTV.
Menurut individu yang berkongsi video berkenaan, pihak surau masih belum lagi membuat sebarang laporan kepada pihak polis kerana ingin meminta lelaki tersebut untuk menyerahkan diri dan menyelesaikan dengan cara yang baik.
"Kejadian berlaku di surau Kampung Masjid, Miri sekitar pukul 8 pagi tadi (Khamis). Setakat ini belum ada laporan polis dibuat. Siapa kenal pelaku, nasihati dia serah diri ke surau sebab video dah tular. Ini baru CCTV manusia, belum lagi CCTV Yang Maha Esa," tulisnya.
Turut tular satu gambar tabung masjid berwarna hitam yang dirantai dikongsikan orang awam. Menurut individu berkenaan, suspek berkemungkinan tidak berjaya mengambil duit di dalam tabung tersebut berdasarkan keadaan tabung yang masih sempurna.
"Berkemungkinan tidak sempat pelaku nak ambil duit. ALLAH lagi mengetahui tapi geram juga, kalau dapat tangkap seronok buat perarakan hantar dia (pencuri) ke balai polis," katanya.
Seorang ahli grup Telegram itu, Hasan berkata, Miri sudah terlalu ramai orang yang terjebak dengan masalah dadah.
"Miri ramai kaki hisap dadah, sebab itu jadi macam ini," katanya.
Hal tersebut turut dipersetujui seorang lagi ahli grup berkenaan, Joe yang berasakan kejadian tersebut ada kaitan dengan kegiatan penagih dadah.
"Ini semua t**i dadah punya kerja, sedih tengok manusia seperti ini," tulisnya.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian itu berlaku kerana maklumat yang diberikan oleh individu berkenaan tidak lengkap.
Pihak Majoriti cuba menghubungi individu yang berkongsi maklumat berkenaan dan belum menerima sebarang respons.
Menurut jurucakap Ibu Pejabat Polis Miri ketika dihubungi Majoriti, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada pihak surau.
Pada masa sama, pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat kejadian itu untuk melaporkan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram