[VIDEO] Pemandu X70 merah biar budak 'bersantai' melalui sunroof dikesan polis


  • Tular
  • Selasa, 24 Jan 2023

Tangkap layar memaparkan seorang kanak-kanak lelaki mengeluarkan separuh badan daripada bumbung kereta melalui sunroof

TINDAKAN seorang pemandu kenderaan jenis Proton X70 membenarkan seorang kanak-kanak lelaki mengeluarkan separuh badan daripada bumbung kereta melalui sunroof (bumbung tembus cahaya) kereta berkenaan dikritik orang awam kerana boleh mendatangkan bahaya.

Video tular tersebut dimuat naik di halaman Twitter @nabilahroslan pada Isnin.

"Sila ambil tindakan ke atas pemandu yang membenarkan kanak-kanak mengeluarkan separuh anggota badan di lebuh raya NKVE Subang ke Bukit Lanjan@PDRMsia @JPJ_Malaysia @LLMrasmi kejadian 23/1 @ 1.15 petang," ciapnya.

Menerusi video berdurasi sembilan saat itu memaparkan Proton X70 tersebut dipandu laju di lorong kanan lebuh raya dan kanak-kanak tersebut kelihatan bersandar di atas bumbung kereta berkenaan.

Walaupun keadaan lebuh raya tidak begitu sibuk, namun tindakan kanak-kanak tersebut boleh mendatangkan bahaya sekiranya terjadi perkara yang tidak diiingini berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik kenderaan Proton X70 tersebut.

Katanya, pihak polis mengesan rakaman video berdurasi sembilan saat berkenaan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @nabilahroslan, jam 12.15 tengah malam tadi (Isnin).

“Dalam rakaman video itu memaparkan sebuah SUV (kenderaan uliti sukan) Proton X70 berwarna merah bersikap cuai terhadap keselamatan kanak-kanak dengan membenarkannya mengeluarkan kepala melalui sunroof kenderaan berkenaan.

“Berdasarkan rakaman, kejadian itu berlaku di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Subang Jaya menghala ke Bukit Lanjan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Mohamad Fakhrudin lagi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 iaitu atas perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

"Pemilik kenderaan atau pemandu berkenaan dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mejar Mohd Yusof Hamzah di talian 011-23065984 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram