Pelaburan jangka panjang buahkan hasil, STL jadi 'tulang belakang' tamatkan penantian 34 tahun di Thailand


  • Podium
  • Isnin, 15 Dis 2025

Penantian negara untuk meraih pingat emas dalam acara sepak takraw berpasukan berakhir. — Facebook/Hannah Yeoh

KONTINJEN negara dalam temasya Sukan SEA 2025 di Thailand semakin hampir untuk mencapai sasaran 200 pingat ditetapkan secara keseluruhan.

Selepas hampir seminggu ia berlangsung, sebanyak 113 pingat sudah terkumpul mengandungi 20 emas, 23 perak dan 70 gangsa yang disumbangkan atlet terpilih.

Antara pingat yang cukup bermakna sudah tentu disumbangkan skuad sepak takraw lelaki berkumpulan yang menamatkan penantian 34 tahun untuk meraih emas dalam acara cukup hebat itu.

BACA LAGI: Miss Thailand 2023 galas tugas istimewa, bangga bawa papan tanda Malaysia di Sukan SEA 2025

BACA LAGI: Galas tanggungjawab sebagai jurunavigasi, Permaisuri Thailand bakal bertanding di sukan SEA 2025

Skuad sepak takraw berpasukan menyumbang pingat emas dalam Sukan SEA 2025. Facebook/KBS

Dalam aksi final pada Ahad, pasukan negara menundukkan tuan rumah menerusi keputusan 2-1 yang disaksikan ribuan peminat sukan sepak takraw.

Ini merupakan pencapaian cukup hebat buat skuad kendalian Ahmad Jais Baharun memandangkan kali terakhir Malaysia meraih emas dalam kategori itu adalah ketika temasya Sukan SEA 1991.

Malah, kejayaan berkenaan turut menceritakan pelaburan jangka masa panjang negara untuk menubuhkan Liga Sepak Takraw (STL) jelas membuahkan hasil.

Perkara itu ditekankan menerusi akaun X Fakta Bukan Auta yang menceritakan bagaimana usaha Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada 2010 sukar meraih perhatian di peringkat awal.

"Sekitar 2010, sewaktu PSM mahu mencari bakat baharu mewakili negara untuk sepak takraw, hanya 29 pemain yang hadir dari seluruh negara. Punyalah sedih.

Saingan STL menyediakan platform untuk memastikan perkembangan sepak takraw dalam negara.

"Apabila ada liga, baru mudah cari pelapis dan apabila ditayangkan di televisyen, baru dapat tarik minat anak muda. Sungguh rupanya! Apabila ada STL, baru tahu sepak takraw Malaysia belum mati," katanya.

Kejayaan negara dalam temasya Sukan SEA kali ini menceritakan bagaimana pelaburan jangka masa panjang dicurahkan PSM dan setiap pihak terlibat mampu membuahkan hasil.

Ini turut disaksikan ketika skuad sepak takraw tanah air berjaya menjuarai pelbagai kategori dalam Piala Dunia Istaf dan Piala Asia Astaf sekitar dua tahun kebelakangan ini.

STL merupakan pertandingan yang dianjurkan setiap tahun dengan dua divisyen, STL Premier dan STL Divisyen 1 dipertandingkan yang mengandungi 22 pasukan dari seluruh negara.

Liga itu juga boleh diangkat sebagai satu medan kompetitif buat penggiat sukan terbabit, terutamanya buat jurulatih dan pemain yang bercita-cita menaikkan reputasi sukan sepak takraw, termasuk di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram