[VIDEO] Atlet para basikal akhirnya ke umrah lepas 8 tahun pasang niat, 'joker' takraw terharu masih ada kenang jasa


  • Podium
  • Selasa, 11 Nov 2025

Seramai lima atlet diberi peluang menunaikan ibadah umrah di tanah suci di bawah tajaan Ikhlas.com dan YAKEB.

AIR mata syukur dan kegembiraan mengiringi detik bermakna buat dua bekas atlet negara apabila impian mereka untuk menunaikan umrah akhirnya menjadi kenyataan.

Melalui inisiatif program umrah Jejak Asnaf anjuran bersama Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Majoriti, lima atlet yang diberi peluang menunaikan ibadah di tanah suci sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan dalam arena sukan negara.

Berkongsi kepada Majoriti, bekas atlet para basikal, Nur Syahida Tajudin berkata, peluang ke tanah suci menutup penantian panjang selama lapan tahun selepas menyimpan hasrat murni itu sejak 2018.

BACA LAGI: [VIDEO] Diuji leukemia 3 tahun lepas, bekas atlet hoki bersyukur sekali lagi terpanggil ke Tanah Suci berkat jaga ibu

BACA LAGI:  [VIDEO] ‘Saya cukup faham kerusi roda ibarat kaki bagi orang seperti kami’, bekas atlet para negara sebak dijemput jadi tetamu ALLAH

Pernah mewakili Malaysia di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia, bekas atlet berusia 33 tahun itu menyifatkan rezeki tersebut sebagai hadiah terindah selepas melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan.

“Sebelum ni masa saya aktif dalam sukan, memang saya simpan niat nak ke umrah. Tapi masa tu banyak komitmen, latihan pagi sampai petang, kejohanan dan pertandingan berturut-turut. Saya tangguhkan dulu niat itu.

“Tak sangka doa yang saya simpan sejak 2018, ALLAH makbulkan tahun ni. Dari bujang sampai sekarang dah ada anak, akhirnya dapat juga saya jejak ke sana. Rasa nak menitis air mata bila dapat tahu terpilih,” ujar Syahidah yang kini bergelar suri rumah selepas menamatkan kontrak sebagai atlet kebangsaan.

Menghidap glaukoma sejak kecil, Syahida mempunyai seorang anak berusia dua tahun manakala suaminya, yang bekerja di sebuah pusat cuci kereta mengalami buta warna.

Meskipun berdepan cabaran kesihatan dan kehidupan sederhana, dia tetap menzahirkan rasa syukur atas rezeki yang datang tanpa disangka.

“Saya nak doakan ibu bapa saya semoga mereka dapat menunaikan haji tahun depan, dan semoga anak serta suami saya dipermudahkan segala urusan. Rancangan ALLAH itu sangat indah,” katanya sebak.

Turut berkongsi rasa terharu ialah bekas atlet sepak takraw negara, Shuaib Salleh yang dulu berperanan sebagai ‘joker’ atau dalam erti kata lain mahir di posisi tekong, perejam dan pengumpan.

Shuaib, 74, yang pernah menyertai Kejohanan Antarabangsa 1982, tidak menyangka masih ada yang mengingati jasa dan pengorbanannya setelah puluhan tahun meninggalkan gelanggang.

“Alhamdulillah, ALLAH beri peluang ke tanah suci. Saya rasa seronok sangat. Ini kali kedua saya ke umrah, kali pertama pada 2022 dengan kawan-kawan, masa tu mereka yang belanja. Kali ni pula YAKEB panggil,” jelasnya.

Bekas atlet sepak takraw negara, Shuaib Salleh.

Bekas kerani Telekom Malaysia itu berkata, peluang ini sangat bermakna buatnya yang kini hidup sederhana bersama keluarga besar.

“Yang mula-mula dulu saya sakit-sakit sikit, tapi sekarang ALLAH bagi sihat. Saya banyak-banyak berterima kasih pada semua yang beri peluang ini termasuk pihak YAKEB dan kawan-kawan yang cadangkan nama saya. Rasa dihargai sangat,” katanya dengan nada sebak.

Syahida dan Shuaib ditemui di Lapangan Terbangan Kuala Lumpur 2, Sepang pada Selasa. 

Program tajaan umrah itu merupakan inisiatif Ikhlas.com dan YAKEB bagi menghargai jasa dan pengorbanan para atlet negara termasuk bekas atlet dan atlet para yang telah menabur bakti mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram