SEBELUM saingan Piala Tun Ali 2025 membuka tirai, Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang, Datuk Abu Jimi Samat tampil menegaskan pasukan terbaik bakal dihantar bagi memberi cabaran.
Tumpuan utama sudah tentu diberikan kepada pasukan lelaki yang bertanding dalam kategori kuadran dan regu dengan nama-nama besar seperti tekong Perak Bison, Meor Zulfikar Mat Amin disenaraikan.
Bagaimanapun, ini tidaklah bermakna skuad Pahang tidak meletakkan pasukan terbaik bagi kategori wanita yang kian menerima tumpuan dalam peminat sukan berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Piala Tun Ali: Taktikal menjadi, bintang beregu Kedah buka rahsia tundukkan Perak
BACA LAGI: [VIDEO] Demi Piala Tun Ali, Kedah pantas sambar 2 tonggak Penang BP

Pahang menamatkan saingan Kumpulan B Piala Tun Ali di tangga teratas. — Facebook/PSM
Ini termasuk meletakkan import dari Thailand, Sirisopa Thongngamkham yang beraksi sebagai tekong selain memikul peranan besar sebagai nadi utama pasukan.
Kehadirannya turut menjadi nadi utama buat pasukan wanita Pahang apabila mereka berjaya menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas Kumpulan B, mengatasi Perak dan Penjara.
Malah, daripada dua perlawanan diharungi, skuad bimbingan Haminuddin Mansor jelas meraih kemenangan selesa iaitu 15-17, 15-6 ketika berdepan Perak selain mudah menewaskan Penjara menerusi keputusan 15-4, 15-12.
Persembahan Sirisopa turut mencuri perhatian selepas kebolehannya untuk membuat tekong berbahaya dikongsikan menerusi akaun Facebook Somtob Banjobrat.
Dalam video pendek itu, tekong dilakukan pemain wanita tersebut gagal ditampan kemas pihak lawan, sekali gus menghadiahkan mata buat pasukan Pahang.
Meskipun hantaran tersebut ringkas, ia sudah cukup untuk memberikan impak besar buat pasukan Pahang yang bukanlah kuasa besar dalam sukan sepak takraw.
Kejayaan menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan B menyaksikan pasukan Pantai Timur itu layak ke pusingan kalah mati yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Selain Pahang, tiga pasukan regu wanita lain yang mengungguli kumpulan masing-masing merupakan Kuala Lumpur, PDRM serta Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
