Galas tanggungjawab sebagai jurunavigasi, Permaisuri Thailand bakal bertanding di sukan SEA 2025


  • Sukses
  • Khamis, 11 Dis 2025

Penyertaan Permaisuri Suthida kali ini dijangka menjadi antara detik paling signifikan dalam sejarah penganjuran temasya sukan serantau tersebut. — Agensi

PERMAISURI Thailand, Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana bakal mencuri tumpuan apabila turun beraksi mewakili negara tuan rumah dalam acara pelayaran di Sukan SEA ke-33 yang bermula minggu ini.

Jawatankuasa penganjur mengesahkan, baginda akan menyertai acara keelboat SSL47 yang berlangsung dari 15 hingga 18 Disember di Pattaya, Chonburi, dengan sasaran meraih pingat emas.

Selain Thailand, acara berprestij itu turut disertai atlet dari Vietnam, Filipina, Malaysia dan Myanmar.

BACA LAGI: Retrospektif fesyen Ratu Sirikit, martabat sutera Thai di mata dunia

BACA LAGI: Chitthip sosok di sebalik kejayaan Lisa Blackpink, tak sia-sia hantar kelas menari seawal usia 14 tahun kini 'mendunia'

Kelas SSL47 menggunakan bot layar jenis keelboat sepanjang 47 kaki (kira-kira 14 meter) yang menuntut kemahiran teknikal tinggi, kekuatan fizikal, ketepatan dan kerjasama berpasukan untuk mengendalikan perubahan angin serta ombak. 

Acara tersebut merupakan antara kategori baharu yang diperkenalkan pada edisi Sukan SEA tahun ini.

Permaisuri Suthida (depan) berjalan bersama atlet Thailand ketika perarakan pada upacara pembukaan Sukan SEA ke-33. — Keluarga Diraja Thailand

Latar belakang 

Berusia 47 tahun, Permaisuri Suthida berkahwin dengan Raja Maha Vajiralongkorn pada 2019. 

Baginda memiliki ijazah dalam Pengajian Komunikasi daripada Universiti Assumption di Bangkok dan pernah berkhidmat sebagai pramugari Thai Airways sebelum menyertai angkatan tentera Thailand pada 2010.

Sepanjang perkhidmatan, baginda pernah mengetuai unit Pasukan Khas Pengawal Raja dan kini memegang pangkat jeneral, sekali gus menjadi antara wanita paling berpengaruh dalam struktur ketenteraan negara itu.

Sesi latihan baginda bersama pasukan pelayaran kebangsaan pada 19 dan 20 November lalu menarik perhatian meluas masyarakat dalam talian, mencerminkan sokongan rakyat terhadap penyertaan bersejarah itu. 

Pada 3 Disember, baginda turut menyertai Regata Piala Raja Phuket ke-37 sebagai persiapan terakhir sebelum Sukan SEA.

Permaisuri Suthida menyertai Regata Piala Raja Phuket ke-37 sebagai persiapan terakhir sebelum Sukan SEA— Agensi

Pakar navigasi 

Di atas kapal, Permaisuri Suthida sering memainkan peranan sebagai jurunavigasi.

Posisi itu menuntut kepakaran dalam penentududukan elektronik, analisis cuaca, arah angin dan sistem navigasi. 

Peranan tersebut dianggap antara yang paling kritikal bagi memastikan bot bergerak selamat dan tepat dalam keadaan laut sentiasa berubah.

Selain pelayaran, baginda turut aktif dalam beberapa cabang sukan. 

Pada 30 November lalu, Permaisuri Suthida menamatkan larian separuh maraton 21 kilometer (km) dalam acara Amazing Thailand Marathon di Bangkok dengan catatan 2 jam, 13 minit dan 40 saat. 

Lagenda jarak jauh Kenya, Eliud Kipchoge turut berlari bersama baginda.

“Berlari di jalan Bangkok pada waktu malam sangat magis dan ia lebih istimewa apabila dapat berlari bersama Permaisuri Suthida,” tulis Kipchoge di media sosial.

Untuk rekod, Sukan SEA ke-33 membuka tirai pada 9 Disember lalu dan akan berakhir 20 Disember di Bangkok dan Chonburi, dengan ribuan atlet dari 11 negara Asia Tenggara bersaing dalam pelbagai acara seperti bola sepak, lawan pedang, papan selaju, pelayaran serta sukan tempur.

Penyertaan Permaisuri Suthida kali ini dijangka menjadi antara detik paling signifikan dalam sejarah penganjuran temasya sukan serantau tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram