SKUAD sepak takraw negara meneruskan misi menamatkan kemarau pingat emas acara berpasukan lelaki Sukan SEA Thailand yang berlarutan selama 34 tahun selepas mengesahkan tempat ke perlawanan akhir edisi 2025.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung pada Sabtu, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun menampilkan persembahan meyakinkan apabila menewaskan Indonesia 2-0 untuk melangkah ke pentas final.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia bakal berdepan cabaran getir pasukan tuan rumah, Thailand dalam perlawanan penentuan pingat emas yang dijadualkan berlangsung pada Ahad.
BACA LAGI: [VIDEO] 'I love botak', Sumareh ceriakan kem JDT menjelang final Piala FA
Sebelum itu, skuad negara menempah slot separuh akhir selepas menewaskan Myanmar 2-1 dalam aksi suku akhir acara berpasukan lelaki yang berlangsung sengit.
Bagaimanapun, tumpuan turut terarah kepada aksi set ketiga perlawanan tersebut apabila gelagat pemain Myanmar yang didakwa cuba mengganggu emosi pemain negara dengan aksi ‘menganjing’ mencuri perhatian.
Menerusi sebuah video yang dikongsikan di laman Facebook milik Rhman V Nawi, regu C Myanmar dilihat melakukan provokasi terhadap regu C Malaysia setiap kali skuad negara gagal meraih mata.
Situasi itu bagaimanapun disambut secara tenang oleh pemain Malaysia yang hanya tersenyum dengan tindakan lawan.
Tidak terjejas dengan provokasi tersebut, regu C negara bangkit mempamerkan aksi bertenaga untuk memastikan kemenangan set penentuan 15-12, sekali gus melengkapkan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar dengan keputusan 15-9, 10-15, 15-12.
Secara keseluruhan, Malaysia memulakan perlawanan dengan cemerlang menerusi kemenangan regu A pada set pertama, sebelum regu B terpaksa akur tewas pada set kedua, namun kebangkitan regu C memastikan kemaraan skuad negara ke separuh akhir.
Menariknya, pertemuan menentang Myanmar itu turut dilihat sebagai simbolik pertembungan pasukan kerdil, Myanmar yang diibaratkan kucing cuba mencabar Malaysia yang sinonim dengan gelaran harimau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
