KECEMERLANGAN sukan di Johor bukan sahaja bertumpu dalam bola sepak kerana beberapa pencapaian turut ditempa dalam sukan lain, termasuk sepak takraw dan ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) lalu.
Bagaimanapun, ramai seperti tidak menyedari bahawa sukan ragbi di Johor turut memiliki reputasi tersendiri selepas berkali-kali menjuarai pertandingan di pentas kebangsaan.
Malah, pasukan tersebut berpeluang menambah koleksi kejuaraan apabila bakal beraksi di pentas akhir Piala Agong edisi ke-41 yang akan berlangsung di UM Arena, Kuala Lumpur (KL) pada Ahad.
BACA LAGI: Kejohanan Ragbi SBP7s ditunda ke Januari, hormati tragedi kematian pelajar SMS Johor
BACA LAGI: Aksi ditangguhkan, pelajar SMS Johor meninggal dunia ketika bermain ragbi

Logo JDT sudah amat dikenali sejak diguna pakai lebih 10 tahun lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Perlawanan itu bakal menyaksikan skuad ragbi Johor menentang PDRM yang bukanlah lawan boleh dipandang kecil setelah menyingkirkan KL dan Kelantan sepanjang pusingan kalah mati.
Pasukan tersebut juga kelihatan sudah menerima suntikan motivasi selepas bertemu Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 18 Oktober lalu dalam majlis makan malam susulan kemenangan ke atas Perlis.
Majlis itu turut dihadiri legenda sukan ragbi antarabangsa, Sonny Bill Williams yang dilantik penasihat sukan Johor pada April lalu dengan dia kerap kelihatan di samping Tunku Ismail.
Ini sekali gus menceritakan hubungan kukuh antara sukan ragbi dan bola sepak di Selatan tanah air itu memandangkan Tunku Ismail merupakan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT).
Namun, perjumpaan sedemikian pasti menimbulkan persoalan mengenai keputusan pasukan ragbi dari negeri itu yang tidak menggunakan logo skuad Harimau Selatan.
Teka-teki berhubung hal tersebut mudah dijawab Hafiz Othman yang kerap berkongsi artikel mengenai JDT dengan menceritakan idea perubahan logo itu pernah disampaikan sebelum ini.

Pertemuan Tunku Ismail dan skuad ragbi Johor menjadi suntikan semangat menjelang final Piala Agong 2025. — Facebook/Tunku Ismail Idris
Dalam hantaran dibuat pada 18 Oktober lalu, dia memetik kata-kata Tunku Ismail pada 2016 dengan menyatakan unsur tradisi menjadi sebab di sebalik hal terbabit.
"“Mengenai logo JDT, dahulu saya pernah bagi cadangan untuk semua sukan menggunakan logo JDT, dan saya pernah katakan kepada Persatuan Ragbi yang mewakili Johor agar memakai lambang JDT.
"Tetapi, mereka mempunyai jawapan yang pada saya logik, iaitu mereka sudah lama dengan lambang dan tradisi tersebut, jadi mereka mahu mengekalkan tradisi itu dan saya menghormati pandangan tersebut," tulisnya.
Perkongsian sedemikian menceritakan bagaimana sukan ragbi sudah cukup terkenal di Johor dengan ia sudah cukup untuk menjadi identiti pasukan sehingga ke hari ini.
Johor perlu menampilkan aksi terbaik pada perlawanan akhir berkenaan kerana PDRM bukanlah pasukan yang boleh dipandang kecil setelah memenanginya semasa edisi terdahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
