[VIDEO] Cantik bukan sekadar penyeri, tekong Thailand serlah bakat bantu Sabah naib juara Piala Tun Ali 2025


  • Podium
  • Ahad, 09 Nov 2025

Janjira bukan sahaja mencuri perhatian kerana wajahnya yang menawan tetapi juga kerana ketangkasan dan kehebatannya di gelanggang.

KEJOHANAN Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 yang bermula 3 hingga 9 November di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka menyaksikan pasukan wanita Sabah mencipta kejutan apabila berjaya muncul naib juara dalam acara akhir regu wanita.

Menariknya, kejayaan itu turut disumbangkan oleh tekong pasukan Sabah yang berasal dari Thailand dikenali sebagai Janjira.

Dia bukan sahaja mencuri perhatian kerana wajahnya yang menawan tetapi juga kerana ketangkasan dan kehebatannya di gelanggang.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Macam ini baru profesional,' aksi adik Jojo ramah mesra dengan lawan curi tumpuan lepas bergelar juara Warrior’s Arena

BACA LAGI: [VIDEO] Piala FA: Peluang terbaik The Rhinos tambah garam di luka Gergasi Merah

Dalam perjalanan menuju ke final, pasukan wanita Sabah mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan Perlis di peringkat suku akhir sebelum menyingkirkan Selangor dalam saingan separuh akhir untuk mara ke pentas akhir menentang PDRM.

Bagaimanapun, mereka gagal bergelar juara selepas tewas 0-2 (9-15, 9-15) di tangan lawan, namun semangat juang yang dipamerkan pasukan Borneo itu khususnya Janjira mendapat pujian ramai penyokong.

Walaupun beraksi di luar negara asalnya, Janjira menunjukkan keserasian tinggi bersama pasukan Sabah dengan ketepatan servis dan kawalan bola yang kemas menjadikannya antara tonggak utama kejayaan skuad wanita pasukan Borneo itu.

Aksi memukaunya turut mencetuskan perbualan di media sosial, dengan ramai penyokong memuji kombinasi kecantikan dan kehebatan teknikal yang dimiliki pemain tersebut.

“Bila kecantikan bukan sekadar hiasan, terbaik tekong Sabah! Mampu buktikan bahawa walaupun cantik, dia tetap berbakat besar,” kata seorang penyokong, Fredlly.

“Sudahlah cantik, hebat pula main sepak takraw! Terbaik pasukan Sabah,” tulis David Rayners Spills.

“Tekong kuda dia tajam macam peluru, kalah-kalah tekong lelaki,” kata Warimin Hasan pula.

Dengan semangat juang tinggi dan prestasi yang ditampilkan sepanjang kejohanan, skuad wanita Sabah bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negeri.

Malah, mereka turut membuktikan bahawa bola sepak takraw wanita mampu menarik perhatian ramai bukan kerana rupa paras tetapi kerana bakat dan disiplin di gelanggang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram