[VIDEO] Lima bekas atlet bersama 10 asnaf dibawa tunai umrah hasil kerjasama IKHLAS-YAKEB hargai jasa wira wirawati negara


  • Massa
  • Selasa, 11 Nov 2025

Foto memori ketika majlis pelepasan jemaah tersebut berlangsung di KLIA 2, Sepang pada Selasa.

SERAMAI lima bekas atlet kebangsaan akhirnya berpeluang menunaikan umrah hasil kerjasama antara IKHLAS Com Travel & Umrah Sdn Bhd (IKHLAS.com) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dalam satu inisiatif yang dianggap simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan wira-wira sukan negara.

Majlis pelepasan jemaah tersebut berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang, Selangor disertai oleh 10 golongan asnaf dan lima ahli YAKEB yang dipilih berdasarkan saringan teliti bagi memastikan mereka benar-benar layak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IKHLAS.com, Ikhlas Datuk Kamarudin berkata, program itu merupakan sebahagian daripada Kempen Umrah 1,000 Asnaf yang dilancarkan pada Ramadan lalu, bersempena ulang tahun kelima operasi syarikat tersebut.

BACA LAGI: Ikhlas.com sasar kutipan zakat RM100 juta tahun depan, mahu terajui platform digital di Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Atlet para basikal akhirnya ke umrah lepas 8 tahun pasang niat, 'joker' takraw terharu masih ada kenang jasa

“Hari ini kita di KLIA 2 bersama YAKEB untuk menyantuni 10 asnaf dan lima ahli YAKEB bagi menunaikan umrah. Ini antara program di bawah IKHLAS.com untuk menyantuni golongan memerlukan.

“IKHLAS.com bermula pada tahun 2020, dan selepas melalui tiga tahun mencabar akibat pandemik Covid-19, kami melancarkan kempen ini sebagai tanda kesyukuran serta cara kami memberi kembali kepada masyarakat.” katanya kepada Majoriti.

Menurut beliau, kolaborasi itu bukan sekadar menaja perjalanan ke tanah suci, tetapi juga sebagai satu bentuk apresiasi terhadap bekas atlet yang pernah mengharumkan nama Malaysia serta golongan asnaf yang dianggap istimewa di sisi ALLAH SWT.

“Mereka ini bukan sekadar bekas atlet, tetapi juga antara hamba ALLAH yang terpilih. Untuk kita menyampaikan hajat mereka menunaikan umrah adalah satu keberkatan besar. Mereka tetamu ALLAH, bukan mudah untuk dijemput ke Tanah Haram,” ujar Ikhlas.

CEO Ikhlas.com, Ikhlas Datuk Kamarudin. 

Beliau turut berharap para peserta akan pulang dengan semangat baharu dan pandangan hidup yang lebih positif selepas menunaikan ibadah berkenaan.

“Mudah-mudahan selepas pulang nanti, mereka dapat melihat peluang baharu dalam kehidupan, dan doa-doa mereka di sana akan membuka pintu rezeki serta kebahagiaan keluarga masing-masing,” katanya.

Setakat ini, Ikhlas.com telah menyantuni sekitar 200 individu di bawah kempen berkenaan, dengan sasaran keseluruhan 1,000 penerima manfaat bagi tahun ini.

Syarikat itu turut merancang memperluas bantuan kepada pelbagai komuniti lain termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), banduan, dan komuniti terpinggir bagi memperkukuh kefahaman tentang gaya hidup Islam.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB iaitu Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menyifatkan usaha Ikhlas.com sebagai satu inisiatif kemanusiaan yang sangat bermakna, khususnya bagi membantu bekas atlet yang kini hidup dalam kesempitan.

“Kita menerima jemputan untuk 15 ahli YAKEB daripada kalangan asnaf, dan bagi kumpulan pertama ini, lima orang berangkat dahulu manakala 10 lagi akan menyusul tahun depan.

“Ini inisiatif yang begitu baik kerana memberi peluang kepada mereka yang mungkin tidak berkemampuan untuk menyertai jemaah umrah. Ia satu bentuk pengiktirafan kepada jasa mereka yang pernah berbakti kepada negara,” kongsinya.

Menurut Ahmad Shapawi, pemilihan dilakukan secara teliti melalui semakan latar belakang dan temu bual bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima peluang tersebut.

Lima bekas atlet bersama Pengarang Berita Majoriti, Mohd Hasriq Amiruddin (kanan).

Beliau turut menyeru lebih banyak syarikat dan pihak korporat tampil memberi sumbangan bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai bekas atlet.

“YAKEB kini mempunyai lebih 3,200 ahli, dan kita berharap lebih ramai bekas atlet akan berdaftar, bukan semata-mata untuk menerima bantuan tetapi juga bagi membantu rakan-rakan seperjuangan yang lain,” katanya.

Jelasnya, YAKEB turut menyumbang sedikit bagi menampung perbelanjaan jemaah di Tanah Suci serta menghantar wakil bagi membantu urusan peserta sepanjang berada di sana.

Melalui inisiatif program umrah Jejak Asnaf anjuran bersama IKHLAS.com, YAKEB dan Majoriti, lima atlet yang diberi peluang menunaikan ibadah di tanah suci sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan dalam arena sukan negara. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram