TUMPUAN peminat bola sepak tempatan minggu ini akan ditumpukan kepada perlawanan akhir Piala FA antara Sabah FC dan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.
Sekiranya dilihat di atas kertas, skuad Harimau Selatan berpeluang cerah mempertahankan gelaran itu selepas pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan kemenangan 8-0 berpihak kepada mereka.
Malah, jurang kualiti antara Sabah FC dan JDT sememangnya menyebelahi pasukan Selatan tanah air tersebut yang memiliki barisan pemain cukup bermutu dan berpengalaman.
BACA LAGI: Bukan sekadar 3 mata, aksi hadapi PDRM ibarat pemanas badan Sabah menjelang final Piala FA
BACA LAGI: Skuad 'feeder' tak layak, Kedah-Perak antara 5 pasukan Liga A1 buru slot Piala Malaysia

Sabah FC sudah tentu mahu mencipta kejutan dalam perlawanan akhir Piala FA kali ini. — Facebook/MFL
Ini sekali gus mengecilkan peluang skuad Sang Badak untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang dialami hampir 30 tahun selepas kali terakhir menjulang trofi adalah semasa menjuarai Liga Super 1996.
Bagaimanapun, status kerdil itu tidak mematahkan semangat kelab Borneo tanah air berkenaan yang pasti mahu memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.
Sekiranya berjaya berbuat demikian, pasukan bimbingan Jean-Paul de Marigny itu akan menjadi pasukan kedua menumpaskan JDT dalam perlawanan akhir Piala FA selepas Kelantan FA pada 2013.
Ketika itu, skuad Harimau Selatan baru sahaja hendak berjinak-jinak dalam arena bola sepak tanah air selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil bergelar Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Kemeriahan dapat dirasakan di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan epik itu.
Pelaburan hebat dilakukan demi menaikkan status pasukan itu dengan membawa masuk nama-nama besar seperti Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali dan Safiq Rahim.
Bagi memastikan JDT dikendalikan dengan cekap, pihak pengurusan melantik legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad dengan keyakinan dan keazaman begitu tinggi.
Namun, ketika itu, pasukan lain turut berada dalam kelas tersendiri, terutamanya Kelantan FA yang pada musim sebelumnya bergelar pemenang gelaran treble dengan tiga kejuaraan domestik dijuarai.
Ini membuatkan pertembungan kedua-dua pasukan itu di pentas akhir Piala FA cukup bersejarah apabila skuad The Red Warriors (TRW) mahu meneruskan dominasi sementara skuad Harimau Selatan berazam mencipta dinasti tersendiri.

Pemain JDT jelas kecewa atas kekalahan pahit dialami dalam perlawanan akhir Piala FA 2013.
Perlawanan itu disaksikan hampir 90,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil yang sesak, tetapi masih dapat dikawal pihak keselamatan dikerah.
Namun, harapan menggunung penyokong JDT untuk menyaksikan pasukan itu menjulang trofi pertama tidak kekal lama setelah bintang Kelantan, Nor Farhan Muhammad membuka jaringan pada minit ke-15 permainan.
Gol itu terhasil selepas tonggak skuad TRW berkenaan menerima lorongan kemas Badhri Radzi sebelum menewaskan Zulfadhli Mohamed untuk meletakkan Kelantan 1-0 di hadapan.
Serangan demi serangan terus dilancarkan JDT untuk cuba mengikat kedudukan, tetapi setiap usaha dicurahkan gagal membuahkan hasil apabila pihak lawan cemerlang dalam aspek pertahanan.

Skuad TRW meraikan kejayaan mempertahankan gelaran Piala FA pada 2013.
Malah, tekanan dirasakan turut membuatkan pemain Harimau Selatan gagal memberikan aksi terbaik, lebih-lebih lagi selepas sebilangan penyokong Kelantan membakar bom asap merah sebagai tanda kegembiraan.
Keputusan 1-0 berpihak kepada skuad TRW kekal sehingga wisel penamat ditiupkan yang menyaksikan mereka menjulang trofi itu buat kali kedua dalam sejarah.
Bagi JDT pula, kekalahan itu ibarat titik perubahan dalam lembaran sejarah kelab apabila mereka tidak pernah lagi tewas setiap kali melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.
Rekod itu pasti mahu dicalarkan Sabah FC dalam pertembungan tidak lama lagi meskipun ramai mula meletakkan skuad Harimau Selatan sebagai juara pilihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
