[VIDEO] 'Ia akan berlaku pada Januari', TMJ beri bayangan JDT beli penyerang lepas akui rindu aksi Joao Figueiredo


  • Podium
  • Khamis, 11 Dis 2025

Gaya permainan Figueiredo mengingatkan Tunku Ismail kepada Diogo. — Facebook/JDT

PENGGANTUNGAN Joao Figueiredo akibat skandal pemain warisan Harimau Malaya diakui memberi kesan sangat mendalam kepada kelabnya, Johor Darul Ta'zim (JDT) terutama di bahagian serangan.  

Sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Figueiredo. 

Selain itu, ketujuh-tujuh pemain berkenaan juga digantung selama setahun dari bola sepak dan didenda CHF2,000 (RM10,000) sementara FAM dikenakan CHF350,000 (RM1.9 juta). 

BACA LAGI: 'Jangan bawa ke CAS', TMJ dedah ada individu FIFA ugut FAM

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: FAM tetap bawa kes ke CAS, komited tegakkan keadilan

Keputusan FIFA itu menyebabkan kelab ketujuh-tujuh pemain terbabit terpaksa melupakan khidmat mereka buat sementara waktu, ia jelas memberi impak negatif buat pasukan masing-masing.

Keadaan itu juga dialami Harimau Selatan yang bergelut di bahagian hadapan dan perkara itu diakui pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila menyifatkan Figueiredo sebagai kunci rakan sepasukan 'bergerak' untuk menjaringkan gol. 

Gaya permainan Figueiredo mengingatkan Tunku Ismail kepada legenda Harimau Selatan iaitu Diogo yang pernah menyarung jersi JDT pada musim, 2019-2020 dan 2023-2024. 

"Dia yang saya sangat rindukan tapi buat masa ini dia kena banned, kita kena tunggu lah proses perbicaraan tersebut kerana dia adalah kunci di mana dia bagi orang keliling dia main.

"Macam Diogo, ingat Diogo dulu, dia boleh score. Tengok berapa gol Arif Aiman dan Gonzale Cabrera score ketika itu. Semua sebab Diogo. Tarik pemain, false nine boleh, target man boleh. Saya lebih suka penyerang macam itu. 

"Saya tak suka ada target striker sahaja. Itu bagi pandangan sayalah. Macam mana pun kita perlu ada dua dengan characteristic yang berbeza," katanya dalam sesi wawancara TMJ bersama penyokong JDT, di Johor Bahru pada Rabu. 

Tunku Ismail juga akui bahawa penggantungan Figueiredo dan ditambah pula dengan kecederaan menimpa seorang lagi penyerang iaitu Romel Morales memaksa kelab itu membawa masuk seorang pemain baharu pada jendela perpindahan nanti. 

"Macam Bergson berbeza dan Forestieri lain (gaya permainan). Tapi hari ini kita ada dua sahaja dekat situ yang boleh pakai. Pasal Romel Morales injured, Figueiredo kena banned

"Jadi terpaksa beli lagi seorang striker untuk ada pilihan dan ia akan berlaku pada Januari," tambah Tunku Ismail yang sebelumnya mendedahkan bakal merekrut sekurang-kurangnya tiga muka baharu pada jendela perpindahan nanti. 

Tunku Ismail mendedahkan bahawa ketiga-tiga pemain berkenaan telah pun memberikan persetujuan untuk menyertai JDT bagi memperkuatkan cabaran kelab itu dalam baki saingan yang melibatkan skuad Harimau Selatan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram