JDT pilih jalan sukar mara ke saingan kalah mati ACL Elite


  • Podium
  • Khamis, 11 Dis 2025

Skuad Harimau Selatan terikat tanpa jaringan menentang Shanghai Port dalam aksi ACLE pada Selasa. — Facebook/JST

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) terlepas peluang untuk meraih mata berharga di laman sendiri apabila diikat tanpa jaringan ketika berdepan Shanghai Port FC pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Meskipun mendapat suntikan semangat daripada ‘ekor’ Harimau Selatan, pintu gol pasukan pelawat seakan-akan kebal apabila menafikan setiap percubaan yang dilancarkan oleh JDT.

Rembatan demi rembatan anak buah Xisco Munoz gagal membuahkan hasil, memaksa mereka berpuas hati dengan hanya satu mata dalam aksi penting tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ingatkan bonus', TMJ pernah 'warning' Hariss Harun jika gagal tewaskan Kelantan

BACA LAGI: Belasah Indonesia cukup-cukup, Akhimullah pimpin skuad hoki negara sumbang emas pertama Sukan SEA

Meskipun memiliki beberapa peluang di depan pintu gol, JDT masih gagal menghasilkan sebarang jaringan. — Facebook/JST

Dengan keputusan seri itu, skuad kendalian Munoz masih kekal dalam kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur.

Namun, perjalanan skuad Harimau Selatan masih belum selamat.

JDT bakal berdepan dua cabaran besar apabila turun menentang dua kelab Jepun iaitu Sanfrecce Hiroshima dan Vissel Kobe pada Februari 2026 yang akan menjadi penentu sama ada Harimau Selatan mampu melangkah ke pusingan 16 terbaik saingan ACLE.

Prestasi skuad Harimau Selatan dalam kejohanan kelab peringkat Asia itu amat merisaukan kerana daripada dua perlawanan terakhir iaitu menentang Melbourne City FC dan Shanghai Port, mereka hanya membawa pulang satu mata.

Berdasarkan perkiraan, wakil tunggal tanah air itu sudah membazirkan lima mata yang boleh dikatakan kerugian besar melihat kepada nasib bakal dihadapi selepas ini.

Malah, prestasi mengecewakan itu turut menceritakan bagaimana JDT gagal memanfaatkan peluang semasa berdepan pasukan setaraf dan tidak sebagus kelab Jepun mahupun Korea Selatan.

Percubaan demi percubaan yang dihasilkan oleh Bergson da Silva (kiri)tetap gagal menembusi pintu gol lawan. — Facebook/JST

Kekalahan pada aksi pembukaan kepada Buriram United juga menunjukkan bahawa pasukan Selatan tanah air tersebut gagal mengambil kesempatan atas peluang berdepan kelab serantau yang sepatutnya menghadiahkan tiga mata penuh.

Perlawanan bertemu kelab gergasi Jepun itu dijangka mampu menjadi penghalang buat JDT untuk terus berada dalam lapan pasukan terbaik Zon Timur.

Untuk rekod, JDT kini menduduki carta enam terbaik dalam Kumpulan A dengan mengutip lapan mata selepas enam perlawanan berlangsung.

Namun, dua kelab gergasi Jepun itu bukanlah calang-calang pasukan kerana Vissel Kobe kini mengungguli Kumpulan A dengan 13 mata, manakala Sanfrecce Hiroshima pula menghuni tangga keempat dengan sembilan poin.

Jadi, dengan keputusan seri 0-0 kepada Shanghai Port itu sekali gus menyaksikan laluan skuad Harimau Selatan kini semakin sukar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram