PERSAINGAN dalam Liga A1 Semi Pro semakin memuncak apabila lima pasukan yang berada dalam kelompok lapan teratas kini giat memburu tiga slot berharga untuk layak ke pentas Piala Malaysia 2025/2026 yang dijangka membuka tirai pada Januari 2026.
Selangor FC II, Johor Darul Ta'zim II dan Imigresen FC II selaku pasukan ‘feeder’ tidak layak menyertai saingan tersebut, sekali gus membuka ruang kepada lima pasukan lain untuk merebut tiket ke kejohanan berprestij itu.
Perak FA, Kedah FA, Kelantan Red Warriors FC (KRW FC), UM-Damansara United dan Armed Forces FC muncul sebagai pencabar utama yang kini mengintai peluang masing-masing.
BACA LAGI: [VIDEO] Hatrik lawan, kad merah 'midfield' jadi penamat tragis kali terakhir Sabah ke pentas final
BACA LAGI: 'Anda jawab di atas padang', Gamel 'bakar' semangat Faisal Halim harungi detik sukar
Dengan Kedah FA dan KRW FC berbaki dua perlawanan, Perak FA dan Armed Forces FC tiga perlawanan, manakala UM-Damansara United masih mempunyai empat aksi tersisa sebelum tamat pusingan pertama, persaingan untuk menamatkan saingan dalam tiga tangga teratas kini semakin sengit.
Mengikut kedudukan semasa selepas aksi 1 Disember 2025, Perak FA mendahului dengan 25 mata, diikuti Kedah FA (24 mata), KRW FC (22 mata), UM-Damansara United (19 mata) dan Armed Forces FC (18 mata).
Jurang mata yang rapat antara kelima-lima pasukan menggambarkan betapa getirnya pertarungan menuju penghujung pusingan pertama.
Melihat prestasi semasa, peluang kelima-lima pasukan dianggap seimbang.
Namun, sebarang keciciran mata dalam baki perlawanan boleh memusnahkan impian mereka untuk beraksi di pentas Piala Malaysia 2026.
Berdasarkan format, kesemua 13 pasukan Liga Super secara automatik ke saingan Piala Malaysia sementara tiga yang lain akan diisi kelab Liga A1 Semi Pro seperti mana dinyatakan di atas.
Untuk rekod, tiga pasukan Liga A1 Semi-Pro yang layak ke Piala Malaysia musim lalu ialah Melaka FC, PT Athletic FC dan KL Rovers FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
