'Kalau takut, jangan main bola', pesanan legenda Sabah muncul tonik semangat jumpa JDT di final Piala FA


  • Podium
  • Khamis, 11 Dis 2025

Pesanan Jelius Ating yang ringkas tapi cukup mendalam buat skuad Sabah.

PERJALANAN Sabah FC dalam Piala FA sudah tiba di puncaknya apabila mereka akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas final pada Ahad.

Walaupun berdepan musim yang tidak begitu menyakinkan dalam Liga Super, Sabah berpeluang untuk mencipta sesuatu yang manis sekali gus cuba menafikan usaha JDT menjulang trofi pertama musim ini.

Semestinya, untuk menumpaskan JDT bukannya mudah namun begitu untuk bertempur dengan Harimau Selatan tanpa rasa takut, itu adalah separuh daripada syarat berjuang.

BACA LAGI: Bergaduh dengan Slot, Salah mungkin senasib bakal pengurus Liverpool

BACA LAGI: [VIDEO] Jemput pempengaruh rasmi majlis, JPN Kedah ambil tindakan terhadap sekolah

Itulah yang pernah dikatakan oleh bekas jurulatih Sabah, Jelius Ating semasa Sabah pertama kali hendak berdepan JDT dalam kejohanan serupa pada 2018.

Diundi sesama sendiri untuk aksi pusingan kedua, Sabah yang ketika itu berada dalam saingan Liga Premier cukup bersemangat bertemu JDT di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Ramai yang berasa negatif kerana menganggap pastinya Sabah akan dibelasah teruk oleh JDT walaupun beraksi di laman sendiri, namun Jelius tampil mengeluarkan ayat ringkas bagi menaikkan semula semangat pemain dan skuad Badak.

"Kalau takut jumpa JDT, baik jangan main bola," kata Jelius ketika itu.

Kata-kata ringkas itu nyata menaikkan semangat pemain dan penyokong Sabah dan itu dapat dilihat apabila Stadium Likas dibanjiri dengan ribuan penyokong.

Malah, Sabah juga berjaya mendapatkan pada satu ketika mendahului JDT 1-0 hasil jaringan Lee Gil Hoon.

Namun, JDT bangkit Luciano Figueroa dan Gonzalo Cabrera menjaringkan gol untuk mematahkan hati 21,000 penyokong Sabah di stadium.

Melangkah ke perlawanan akhir Ahad ini, Sabah masih berdepan tugasan sukar untuk menumpaskan JDT sekali gus membawa Piala FA merentasi Laut China Selatan.

Akan tetapi, kalau takut jumpa JDT, bagus nda payah main bola, tak begitu? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram