Bukan sekadar 3 mata, aksi hadapi PDRM ibarat pemanas badan Sabah menjelang final Piala FA


  • Podium
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Sabah menamatkan penantian 27 tahun untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti. — Facebook/sabahfc

SABAH FC menamatkan penantian selama 27 tahun untuk melangkah ke pentas akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 dalam aksi separuh akhir yang penuh dramatik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.

Kejayaan manis itu sekali gus menyaksikan skuad The Rhinos bakal membuat perhitungan menentang juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada 14 Disember nanti.

Namun, prestasi Sabah FC dalam Liga Super cukup merisaukan ketika ini apabila mereka baru sahaja merekodkan satu kemenangan daripada sembilan perlawanan yang meletakkan kelab itu di tangga kesembilan.

BACA LAGI: Skuad 'feeder' tak layak, Kedah-Perak antara 5 pasukan Liga A1 buru slot Piala Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Khyril Muhymeen tolak tawaran 'tak masuk akal' JDT kerana arwah ibu

Sabah FC bakal bertemu juara bertahan Liga Super, JDT dalam perlawanan akhir Piala FA.

Ini sekali gus meletakkan JDT dalam situasi selesa untuk mempertahankan trofi itu sementara penantian skuad Sang Badak menamatkan kemarau kejuaraan berterusan.

Oleh itu, perlawanan bertemu PDRM FC dalam saingan Liga Super pada 6 Disember dilihat peluang keemasan Sabah untuk memperbaiki prestasi semasa mereka agar mampu memberi saingan kepada juara bertahan itu.

Sebahagian sesi latihan Sang Badak menjelang aksi bertemu PDRM FC dalam saingan Liga Super. Facebook/sabahfc

1. Turunkan setiap pemain terbaik

Sabah FC perlu menurunkan barisan pemain terbaik menjelang aksi menentang PDRM FC, langkah yang dianggap penting untuk membina keserasian pasukan menjelang perlawanan penting itu.

Keputusan menurunkan setiap tonggak utama dilihat sebagai peluang terbaik buat skuad kendalian Jean-Paul de Marigny memantapkan lagi koordinasi dan kefahaman di setiap posisi, sekali gus menguji kombinasi terbaik pasukan dalam situasi perlawanan sebenar.

Langkah itu juga dilihat sebagai usaha memastikan Sabah berada pada tahap optimum ketika melalui jadual saingan yang semakin mencabar.

Khdimat dua penyerang berbisa Adjin Mujagic dan Fergus Tierney (kanan) ditagih bagi membantu Sabah berdepan The Cops nanti.Facebook/sabahfc

2. Elakkan masalah kecederaan baharu

Barisan kejurulatihan Sabah FC memberi tumpuan penuh untuk mengelakkan sebarang masalah kecederaan baharu dalam skuad utama, terutama selepas pengalaman melibatkan tonggak tengah, Gabriel Peres sebelum ini.

Usaha itu dianggap penting bagi memastikan kecederaan sama tidak berulang, sekali gus mengekalkan kekuatan penuh pasukan menjelang perlawanan akhir Piala FA nanti.

Langkah berwaspada itu juga dijangka mempengaruhi pengurusan minit permainan dan pemilihan pemain bagi memastikan setiap tonggak berada pada tahap kecergasan optimum.

Bek kental Sabah FC, Dominic Tan. Facebook/sabahfc

3. Boleh cipta momentum

Aksi bertemu The Cops juga dilihat sebagai peluang terbaik buat skuad Sang Badak untuk membina momentum dan meningkatkan keserasian antara pemain sebagai persiapan menghadapi cabaran lebih besar menentang skuad Harimau Selatan.

Selain itu, aksi bertemu The Cops amat penting kerana itu merupakan satu-satunya aksi terakhir Sabah dalam saingan Liga Malaysia sebelum bertemu JDT.

Setiap pemain turut disarankan untuk saling membantu mencipta rentak permainan yang konsisten, sekali gus memastikan Sabah berada pada tahap terbaik apabila berdepan juara bertahan itu nanti.

Momentum berpasukan dianggap kunci utama dalam usaha Sabah memperkukuh prestasi serta mengekalkan intensiti permainan sepanjang saingan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram