PERMULAAN baik ditampilkan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dalam Sukan SEA berikutan kemenangan selesa 4-1 ke atas Laos di Stadium Rajamangala, Thailand pada Sabtu lalu.
Tiga mata diraih itu memberi peluang buat Harimau Muda untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati secara automatik, sekali gus membawa pulang pingat dalam acara tersebut.
Bagaimanapun, ujian hebat menanti anak-anak buah Nafuzi Zain dalam perlawanan selepas ini yang akan berdepan Vietnam pada Khamis.
BACA LAGI: Ex coach anggap skuad B-23 bukti pembangunan bola sepak Malaysia jauh ketinggalan
BACA LAGI: Piala Mandiri: Nafuzi, Harimau Muda perlu lulus 'ujian pertama' sebelum Kelayakan Piala Asia B-23

Harimau Muda masih berpeluang cerah untuk melangkah ke peringkat kalah mati. — Facebook/FAM
Pertembungan kedua-dua gergasi Asia Tenggara itu sememangnya kerap dinantikan, lebih-lebih lagi buat pasukan senior kerana kualiti hebat dan permusuhan antara satu sama lain.
Malah, aksi antara dua pasukan belia turut meraih perhatian kerana peminat sekitar Asia Tenggara mahu melihat pembangunan bola sepak di Malaysia dan Vietnam.
Namun, melihat kepada rekod pertembungan terdahulu, skuad B-23 Vietnam beberapa kali muncul pemenang, termasuk ketika aksi Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Dalam edisi ketika itu, kedua-dua negara diletakkan dalam Kumpulan B yang boleh dikatakan sebagai kumpulan maut kerana turut mengandungi Thailand, Laos dan Singapura.

Skuad B-23 tewas dalam aksi ketiga Kumpulan B Sukan SEA 2023 kepada Vietnam. — Facebook/FAM
Tekanan dirasai pada temasya tersebut jelas terpancar kerana selepas mudah menundukkan Laos dalam aksi pembukaan, Harimau Muda tewas dalam perlawanan kedua kepada Thailand menerusi keputusan 2-0.
Kekalahan itu menghantar isyarat jelas kepada anak-anak buah E Elavarasan untuk meraih mata penuh ketika berdepan Vietnam dalam perlawanan ketiga kumpulan.
Tetapi, harapan skuad muda kebangsaan meraih kemenangan mudah dipatahkan seawal minit keenam apabila Nguyen Van Tung meledak sebelum menambah jaringan peribadi pada minit ke-33.
Meskipun pasukan B-23 negara cuba mengikat kedudukan menerusi Aliff Izwan Yuslan dua minit sebelum wisel separuh masa ditiupkan, layangan dua kad merah pada babak kedua permainan membunuh momentum.
Dua pemain yang diarahkan meninggalkan padang itu merupakan Safwan Mazlan dan Najmudin Akmal kerana kesalahan dilakukan ke atas pihak lawan.

Skuad Sukan SEA 2023 yang gagal melepasi peringkat kumpulan. — Facebook/FAM
Keputusan 1-2 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menyaksikan Harimau Muda gagal melangkah ke pusingan kalah mati dan kempunan meraih sebarang pingat dalam acara bola sepak.
Kegagalan itu jelas membuka mata peminat yang mula mempersoalkan kebolehan skuad pelapis apabila berkali-kali gagal untuk mempamerkan hasil.
Meskipun pernah menjulang trofi seperti Piala Merlion 2023, soalan sebenar perlu dituju ke arah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang seakan-akan terus menutup mata atas kegagalan pasukan.
Senario sebegitu tidak mustahil untuk disaksikan selepas ini memandangkan peluang Harimau Muda untuk melakar kejayaan ke atas Vietnam boleh dikatakan agak tipis.
Persiapan tidak terurus, taktikal Nafuzi yang masih belum serasi serta jumlah pemain tersenarai sudah cukup menceritakan betapa jauhnya Harimau Muda di belakang negara lain sekitar Asia Tenggara.
Jadi, sekiranya kegagalan itu sekali lagi berulang, soalan perlu tanya sama ada itu sahaja kekuatan Harimau Muda atau masa diperuntukkan hanya dibazirkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
