PENANG FC musim ini sekali lagi dilanda masalah prestasi atas padang apabila setakat ini Harimau Kumbang berada di kedudukan ke-12 liga dengan hanya satu kemenangan, dua keputusan seri dan selebihnya tewas selepas sembilan perlawanan.
Tidak pasti di mana silapnya, tetapi penyokong Harimau Kumbamg seperti menuding jari kepada barisan pemain Penang FC apabila sebahagian daripadanya seolah-olah tidak memberi apa-apa sumbangan.
Pada awal musim ini, Penang FC bermula dengan perancangan yang tampak strategik apabila melakukan rombakan apabila melepaskan seramai 22 pemain serentak dan membawa masuk pemain baharu.
BACA LAGI: Nostalgiknya aksi berdepan Penang, hadiahkan kemenangan pertama buat Gamel di Liga Super
BACA LAGI: Jika lawan Penang FC pun kalah, tiba masa Jean-Paul berehat
Bagaimanapun, kemasukan pemain baharu berkenaan tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan oleh barisan pengurusan dan penyokong hingga dikhabarkan Harimau Kumbang akan melakukan rombakan pada jendela perpindahan nanti.
Tidak mahu sekali lagi menjadi mangsa 'scam', penyokong berharap pengurusan kelab Utara tanah air berkenaan membuat penyelidikan sebelum merekrut pemain baharu pada Januari kelak.
Daripada membawa pemain yang tidak pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), terdapat tiga tonggak berpengalaman saingan domestik wajar menjadi buruan Penang FC.
1) Emmanuel Mbarga
Kelantan Red Warriors (KRW) terus mencuri tumpuan dalam saingan Liga A1 musim ini, dan antara tonggak utama kebangkitan tersebut ialah penyerang import Cameroon, Emmanuel Mbarga yang kini muncul antara penjaring paling berbisa liga.
Mbarga bukan hanya penjaring utama dengan 13 gol setakat ini, malah turut memainkan peranan sebagai penggerak serangan, mengucar-ngacirkan benteng lawan dengan kelajuan, kawalan bola kemas serta penyudah tenang di hadapan gawang.
Aksi konsisten Mbarga turut membuka ruang spekulasi bahawa dia bakal menjadi nama panas ketika jendela perpindahan kedua dibuka Januari depan, dengan beberapa kelab tempatan dijangka memburu tandatangannya.
Dengan perkembangan itu, Penang FC disaran bertindak segera menawarkan kontrak lumayan kepada Mbarga bagi memperkukuh bahagian serangan mereka yang dilihat kurang tajam musim ini.
Setakat sembilan perlawanan, Harimau Kumbang memiliki dua penyerang berpengalaman, Tchetche Kipre dan Bruno Suzuki, namun kedua-duanya gagal memberikan impak besar.
Hanya Kipre berjaya menjaringkan empat gol, manakala Suzuki masih belum menemui sentuhan penyudah.
2) Nick Swirad
Bek tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Nick Swirad sebelum ini disebut-sebut bakal ke Harimau Kumbang pada musim 2025/2026 dengan pemain berusia 33 tahun bagi memperkukuhkan bahagian pertahanan Harimau Kumbang.
Tidak dinafikan pemain warisan Malaysia-England berkenaan hanya tampil dalam lapan perlawanan domestik untuk KL City pada musim lepas, satu catatan yang kurang meyakinkan untuk menjadikannya sebagai pemain baharu pada Januari nanti.
Walaupun begitu, Nick merupakan pemain berpengalaman yang pernah beraksi dengan kelab tempatan seperti JDT, Melaka, PKNS FC, Selangor FC, Sri Pahang. Dia juga membantu Nongbua Pitchaya menjadi juara saingan Thai League 2 musim 2020/2021.
Penang FC berpotensi melakukan penjimatan besar dalam membina skuad lebih seimbang jika membawa masuk pertahanan berusia 34 tahun yang kini berstatus ejen bebas itu.
Ketika ini, skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail hanya bergantung kepada tiga tonggak utama di benteng pertahanan iaitu Stefano Brundo, Akmal Zahir dan Faith Obilor.
Namun jumlah tersebut dianggap terlalu kecil, terutama jika berlaku kecederaan atau penggantungan yang boleh menjejaskan kestabilan pasukan.
3) Ahmad Israiwah

Israiwah diturunkan dalam 12 perlawanan bersama PDRM FC musim ini. — Facebook/PDRMFC
Nama Ahmad Israiwah pernah meniti di bibir penyokong domestik apabila pemain tengah berkenaan dikhabarkan menyertai Kedah Darul Aman FC pada saingan Liga M musim 2022.
Selepas perpindahan ke Sang Kenari tidak berjaya, Israiwah akhirnya tiba ke tanah air dengan status sebagai bintang import PDRM FC bagi membantu kelab Sang Saka Biru kempen musim ini.
Bagaimanapun, tahun pertamanya di Malaysia tidak berjalan dengan lancar apabila PDRM FC dikhabarkan mengalami masalah tunggakan gaji hingga merosakkan prestasi atas padang mereka.
Masalah dihadapi The Cops itu membuka peluang kepada kelab lain termasuk Penang FC untuk membawa masuk Israiwah bagi memperbaiki masalah di bahagian tengah mahupun serangan.
Israiwah adalah pemain tengah menyerang dan mempunyai kelebihan untuk beraksi selaku pemain sayap kerana kelincahan pemain berusia 31 tahun itu untuk menggelecek bola. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
