[VIDEO] 'Tapi kita masih nampak Kipre', belum reda isu rasis coach Sabah, pemain Penang pula jadi mangsa gurauan pengulas


  • Podium
  • Isnin, 08 Dis 2025

Kipre menjadi mangsa gurauan kasar pengulas di televisyen.

PERLAWANAN Liga Super antara Penang FC dan Selangor FC pada Ahad di Stadium Bandaraya, George Town berdepan dengan kesukaran apabila berlakunya masalah teknikal.

Hal ini kerana, lampu limpah stadium mengalami masalah hinggakan aksi terpaksa ditangguhkan oleh pengadil.

Malah, separuh masa pertama juga menyaksikan pengadil terpaksa menambah 27 minit masa tambahan akibat masalah teknikal yang dihadapi.

BACA LAGI: 'Bersikap rasis perbuatan bodoh', tonggak Jordan kecewa jadi mangsa 'hinaan' coach Sabah FC

BACA LAGI: Diangkat sebagai titik kebangkitan Sabah, Kim Swee antara ikon Sang Badak kenang jasa Bung Moktar

Akan tetapi, berlaku satu lagi kejadian yang tidak disangka apabila seorang pengulas stesen televisyen tempatan mengeluarkan komen berbaur perkauman terhadap seorang pemain Penang.

Ketika skrin menunjukkan para pemain sedang sabar menanti detik untuk perlawanan disambung semula, pengulas tersebut mengeluarkan komen berkait masalah lampu limpah dengan warna kulit penyerang Harimau Kumbang, Tchetche Kipre.

"Tapi kita masih boleh nampak Kipre ya," kata pengulas tersebut sambil tertawa kecil.

Setakat laporan ini ditulis, belum ada sebarang respons oleh pengulas tersebut atau stesen televisyen berkenaan mengenai komen tersebut.

Malah Kipre juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Situasi itu berlaku di saat bola sepak Malaysia dikejutkan dengan pendedahan pemain PDRM FC, Fadi Awad yang mengakui dia menjadi mangsa komen perkauman oleh jurulatih Sabah FC, Jean Paul de Marigny pada Sabtu.

"Setiap kali kami (PDRM FC) bermain menentang Sabah, sama ada di tempat sendiri atau tempat lawan, sentiasa ada rasa saling menghormati antara kedua-dua pasukan.

"Tetapi hari ini (Sabtu), jurulatih mereka tidak menghormati saya di depan semua orang, menggunakan bahasa yang tidak sesuai dan tidak mencerminkan nilai Sabah FC," kata pemain dari Jordan itu. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram