Ex coach anggap skuad B-23 bukti pembangunan bola sepak Malaysia jauh ketinggalan


  • Podium
  • Rabu, 23 Jul 2025

Skuad B-23 masih jauh ketinggalan sekiranya hendak dibandingkan dengan negara sekitar Asia Tenggara. — Facebook/Malaysia NT

HARAPAN peminat bola sepak negara menyaksikan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) menjulang Piala AFF B-23 yang turut dikenali sebagai Piala Mandiri tidak kesampaian.

Ini selepas anak-anak buah Nafuzi Zain gagal melepasi peringkat kumpulan setelah hanya merekodkan empat mata daripada tiga perlawanan yang menyaksikan mereka berada di tangga ketiga Kumpulan A.

Kekalahan di tangan Filipina pada aksi pembukaan menyekat hasrat tersebut meskipun mengutip mata penuh ketika berdepan Brunei sebelum mengikat tuan rumah, Indonesia dalam perlawanan terakhir.

BACA LAGI: 'Cabarannya, Thailand', Balachandran ramal skuad B-19 mampu lepas peringkat kumpulan tapi sukar jadi juara

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya dibezakan 0.13s, Azeem Fahmi terlepas podium 100m WUG 2025

Perjalanan skuad B-23 negara dalam Piala Mandiri terhenti di peringkat kumpulan. Facebook/ASEAN United FC

Prestasi tidak meyakinkan itu kemudian menyaksikan peminat bola sepak mula mempersoalkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberi kepercayaan kepada Nafuzi.

Kehadiran pengendali berusia 46 tahun tersebut sememangnya diharapkan mampu membawa perubahan terhadap skuad B-23 kebangsaan selepas pernah menggilap bakat muda semasa bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC.

Namun, tiga keputusan di Indonesia itu menyaksikan ramai mempertikaikan kebolehannya bersama Harimau Muda sehingga ada yang mengharapkan badan induk bola sepak negara itu menukar barisan kejurulatihan pasukan.

Bagaimanapun, bagi jurulatih berpengalaman, S Balachandran, kesalahan penuh tidak boleh diletakkan di bahu Nafuzi kerana kegagalan tersebut menceritakan pembangunan bola sepak tempatan masih jauh ketinggalan.

Nafuzi pantas dipersalahkan peminat atas kegagalan membawa pasukan negara ke pusingan kalah mati. Facebook/Malaysia NT

"Masalah kita bukannya pada skuad B-23 tetapi terletak lebih bawah iaitu di peringkat B-14 hingga ke B-16. Latihan awal perlu dilaksanakan kerana apabila usianya sudah lanjut, mereka sudah berada di tahap skuad kebangsaan.

"Jadi, bagi saya, kita perlu beri perhatian adalah pada pembangunan supaya mereka boleh beraksi di tahap lebih tinggi. Jadi, saya boleh kata kita sedang ketinggalan," katanya kepada Majoriti.

Walaupun reputasinya tidak dikenali secara meluas, Balachandran berpengalaman dalam arena bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi di peringkat akar umbi selepas pernah mengendalikan skuad B-16 negara.

Selain itu, dia pernah berada dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya semasa pasukan itu berada di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, sekali gus memberinya peluang membuat pemerhatian secara menyeluruh.

Balachandran membuat perbandingan program pembangunan di Malaysia dan negara lain sekitar Asia.

Jelasnya, sesi latihan tidak mencukupi yang diberikan di peringkat akar umbi membuatkan pemain sukar menguasai aspek teknikal dan taktikal ketika usia sudah semakin lanjut.

"Saya pernah pergi ke Vietnam, Thailand mahupun Jepun. Mereka sudah memberi pendedahan seawal usia tujuh ke lapan tahun pada sesi pagi mahupun petang.

"Tetapi, bagi pemain di peringkat akar umbi di sini, latihan hanya dilakukan pada waktu petang, adakah itu mencukupi? Pembangunan akar umbi adalah satu tugas yang berat dan proses itu cukup panjang. Tiada jalan pintas boleh diambil," katanya lagi.

Kegagalan skuad bimbingan Nafuzi untuk memberi persembahan terbaik dalam Piala Mandiri sudah tentu menimbulkan kegusaran kerana pasukan itu akan berentap dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-23 pada September.

Sekiranya Harimau Muda gagal melepasi kumpulan yang mengandungi Lubnan, Mongolia dan Thailand, perubahan menyeluruh perlu dilakukan FAM terhadap pasukan terbabit.

Bagaimanapun, jika skrip sama terus berulang yang mana tiada penekanan diberikan ke atas program pembangunan, mampukah Harimau Muda muncul sebagai antara pasukan terbaik di Asia mahupun dalam rantau Asia Tenggara? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram