Salah tinggalkan Liverpool: Isak-Wriz juga terkena ‘tempias’


  • Podium
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Ketiadaan Salah sepatutnya dijadikan peluang untuk pemain serangan Liverpool yang lain menyinar.

LIVERPOOL bakal kehilangan bintang utama mereka iaitu Mohamed Salah apabila dia akan meninggalkan kelab itu untuk tugasan antarabangsa bersama Mesir bagi kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bermula 15 Disember.

Dengan Salah meninggalkan kelab pada fasa penting perjalanan musim Liverpool yang cukup berliku, ia pastinya memaksa perubahan dari segi taktikal bagi memastikan The Reds terus kompetitif.

Ia merupakan detik yang penting untuk musim Liverpool dengan persoalan, adakah ia rahmat atau ujian buat mereka?

BACA LAGI: 'Baru betul letak bendera', jersi ke-3 Harimau Malaya kembalikan nostalgia era K. Rajagopal

BACA LAGI: Aksi Leeds United 'nyawa' terakhir, Slot salahkan Liverpool sudah hilang 'fear factor'

Tinggalkan kelab untuk negara

Ia merupakan satu dilema yang besar untuk mana-mana pemain Afrika yang beraksi di Eropah setiap kali AFCON dilangsungkan kerana kejohanan itu dijalankan pada Januari sewaktu majoriti liga sedang memasuki fasa pertengahan musim.

Memandangkan AFCON setaraf dengan kejohanan seperti Piala Asia dan Copa America, majoriti pemain lazimnya tidak menolak untuk mewakili negara masing-masing.

Salah bakal jadi watak penting Mesir di AFCON.

Bagi Salah, dia akan terlepas minimum tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur, Wolverhampton Wanderers dan Leeds United.

Salah juga boleh terlepas tiga aksi EPL lain seperti perlawanan menentang Fulham, Arsenal, Burnley serta aksi pusingan ketiga Piala FA Inggeris sekiranya Mesir layak ke perlawanan akhir AFCON.

Hilang pemain penting

Melihat kepada situasi tersebut, ia membuatkan pemergian Salah bakal memberikan impak kepada Liverpool.

Hal ini kerana, pemergian Salah akan mengurangkan satu nama dalam squad depth Liverpool di bahagian serangan di saat mereka sedang berdepan tempoh tersibuk dalam musim mereka.

Walaupun berprestasi buruk, Salah masih penting untuk Liverpool.

Walaupun Salah tidak berada pada prestasi terbaik, ia tetap akan menjejaskan barisan serangan Liverpool seandainya pemain lain seperti Alexander Isak atau Federico Chiesa cedera.

Namun begitu, ia menjadi tanggungjawab barisan kejurulatihan Liverpool untuk memastikan situasi tersebut dapat dikawal dengan baik.

Peluang untuk Isak-Wirtz menyinar

Dengan ketiadaan Salah untuk minimum tiga perlawanan, ia menjadi peluang penting buat dua pembelian termahal kelab iaitu Isak dan Florian Wirtz menyinar.

Kedua-dua pemain tersebut masih lagi mencari-cari rentak dengan Isak sudah pun menjaringkan gol EPL pertamanya untuk Liverpool ketika mengalahkan West Ham United.

Isak (kanan) sudah menjaringkan gol untuk Liverpool dalam EPL.

Sepanjang ketiadaan Salah, kesempatan boleh diambil untuk membina taktikal bersesuaian dengan dua pemain tersebut sekali gus memastikan The Reds kembali ke landansan kemenangan.

Ia mungkin boleh menjadi titik tolak kepada persediaan Liverpool untuk bersaing tanpa Salah dalam perancangan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram