[VIDEO] Jangan risau fans JDT, 2 gergasi China pernah 'terciduk' di SSI


  • Podium
  • Selasa, 09 Dis 2025

Aksi menentang Shanghai Port ibarat misi hidup dan mati buat pasukan bimbingan Xisco Munoz.  — Facebook/JDT

WAKIL Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan berdepan misi sukar berdepan kelab China iaitu Shanghai Port FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Selasa.

Aksi menentang Shanghai Port ibarat misi hidup dan mati buat pasukan bimbingan Xisco Munoz dalam usaha kekal di dalam kelompok lapan pasukan terbaik bagi saingan pentas tertinggi Asia berkenaan. 

Prestasi Harimau Selatan ketika ini sedikit bergelut di peringkat antarabangsa apabila sebelum ini juara Liga Super berkenaan tewas 0-2 kepada Melbourne City FC di Stadium Melbourne Rectangular pada 25 November. 

BACA LAGI: Biar lama tak beraksi, momen epik di Kemboja buktikan nilai Shane Lowry buat JDT

BACA LAGI: Bukan hanya Jairo, 2 lagi bekas striker JDT tak kalis kritikan walau tajam depan gol

Kemudian dalam cabaran kejuaraan kelab Asean atau Piala Shopee, sekali lagi prestasi tidak konsisten kembali menghantui anak buah Munoz selepas seri 2-2 kepada kelab dari Kemboja, PKR Svay Rieng FC.  

Melihat prestasi semasa JDT, penyokong mula khuatir aksi menentang Shanghai Port lagi-lagi kelab itu hadir dengan momentum positif selepas baru sahaja ditabalkan selaku juara Chinese Super League buat kali keempat baru-baru ini.

Shanghai Port juara Chinese Super League musim ini. — Agensi

Kejuaraan yang diraih Shanghai Port di bawah bimbingan ketua jurulatih, Kevin Muscat hadir selepas pasukan itu menewaskan Dalian Yingbo dalam aksi terakhir pada 22 November lalu.

Bagaimanapun, meskipun lawan sedang berada dalam prestasi yang menggalakkan, penyokong Harimau Selatan tidak perlu terlalu bimbang kerana bermain di laman sendiri sering menjadi kelebihan besar buat JDT.

Rekod di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini juga menyaksikan JDT pernah menundukkan dua gergasi China.

1) Guangzhou FC (2022)

JDT pernah melakar kenangan tersendiri ketika bertemu wakil dari China, terutamanya pada kempen 2022 yang menyaksikan mereka menamatkan penantian untuk layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama. 

Mereka berada dalam Kumpulan I bersama Kawasaki Frontale (Jepun), Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Guangzhou FC (China), namun semua perlawanan ketika itu dianjurkan di Stadium Sultan Ibrahim kerana kekangan Covid-19.

Kesempatan bermain di gelanggang keramat itu dimanfaatkan sepenuhnya termasuk ketika berstatus 'pelawat' menentang Guangzhou FC pada 27 April 2022, yang berakhir dengan kemenangan 2-0 buat Harimau Selatan.

Ia merupakan kemenangan kedua JDT ke atas Guangzhou apabila sebelumnya, Harimau Selatan membelasah Guangzhou FC 5-0 di venue sama dengan statu sebagai pasukan tuan rumah. 

Bergson da Silva sudah pastinya menjadi watak utama buat Harimau Selatan apabila penyerang prolifik kelahiran Brazil itu berjaya meledakkan hatrik pada perlawanan ini.

Dua kemenangan itu membakar semangat JDT untuk melakar satu lagi kejutan besar apabila menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 sebelum mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah kelab.

2) Shanghai Shenhua (2024/25)

Shanghai Shenhua sudah dua kali menjadi mangsa amukan JDT apabila musim ini mereka sekali lagi tewas, kali ini dengan keputusan 1-3 di SSI apabila Jonathan Silva muncul watak utama dengan dua jaringan, manakala satu lagi gol disempurnakan oleh Oscar Arribas.

Selain itu, kempen musim lepas juga menyaksikan JDT yang ketika itu dilatih Hector Bidoglio tidak mempunyai masalah menewaskan Shanghai Shenhua FC dalam saingan ACLE selepas menang 3-0 ke atas kelab China itu. 

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, kuasa besar Liga Malaysia itu meraih kemenangan bergaya menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi, Jorge Obregon dan Juan Muniz.

Selain imbuhan tersebut, Arif Aiman turut mencipta sejarah peribadi apabila jumlah jaringannya dalam ACLE ketika itu melepasi rekod milik bintang dunia, Cristiano Ronaldo. 

Persembahan cemerlangnya menentang Shanghai Shenhua membolehkan dia dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, malah meraih anugerah itu dua kali dalam kempen sama.

Walaupun aksi menentang Shanghai Port, JDT kehilangan khidmat Arif Aiman namun Munoz perlu bijak merencana taktikal untuk membentuk jentera serangan yang lebih ampuh dan mencari pemain yang sesuai mengiisi posisi sayap kanan. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram