Salah ‘tercicir’ ke Itali sebab bakal dijual, Liverpool pancing legenda ganti Slot


  • Podium
  • Selasa, 09 Dis 2025

Salah dilaporkan akan dijual pada jendela perpindahan Januari kelak.

KONTROVERSI melibatkan Mohamed Salah dan Liverpool kini memasuki episod baharu apabila dia disisihkan daripada skuad 19 pemain yang dibawa Arne Slot ke Itali untuk berdepan Inter Milan dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada pagi Rabu, waktu Malaysia.

Keputusan itu sebenarnya adalah 'hukuman' secara halus oleh pengurusan Liverpool dengan mereka dilaporkan sedia menjual Salah pada jendela perpindahan Januari kelak.

Dikatakan, keputusan tersebut bukannya diputuskan oleh Slot sebaliknya dilakukan oleh pengurusan tertinggi Liverpool seperti pengarah sukan, Richard Hughes dan ketua eksekutif bola sepak, Michael Edwards.

BACA LAGI: Suka main solo, Mo Salah dituduh jadi punca bintang mahal Liverpool 'flop'

BACA LAGI: Rasa macam kena campak bawah bas — Mo Salah

Tindakan menjual Salah itu dikatakan dilakukan secara rahsia oleh pengurusan tertinggi Liverpool dan itu menaikkan kemarahan pemain tersebut apabila ia sampai ke pengetahuannya.

Salah yang sudah beberapa kali dikaitkan ke Arab Saudi dijangka akan dijual ke sana walaupun beberapa kelab utama Eropah seperti Bayern Munich, Real Madrid dan Barcelona berminat dengannya.

Liverpool benar-benar mahu melepaskan Salah secepat mungkin supaya mereka dapat mengumpul dana bagi membawa pemain Bournemouth, Antoine Semenyo ke Anfield.

Bagi Slot pula, aksi menentang Inter juga penting kerana jika prestasi terus merudum, Liverpool akan mengejar legenda kelab sebagai penggantinya.

The Reds sedang memerhati perkembangan pengendali Real Madrid, Xabi Alonso yang dikatakan bakal dipecat akibat masalah dengan beberapa pemain kelab itu.

Seandainya dilepaskan Los Blancos, Liverpool akan segera mendapatkan Alonso sambil memecat Slot.

Untuk beberapa minggu, Liverpool mengalami krisis di luar padang yang menambah kusut kepada persembahan mereka setiap minggu.

Ia sampai ke puncak apabila Salah berkata secara terbuka yang dia dijadikan 'kambing hitam' oleh kelab selepas Liverpool seri 3-3 menentang Leeds United pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram