BEKAS pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim kini menggalas tugas sebagai jurulatih bagi skuad Mesir selepas mengikat kontrak selama tiga tahun.
Keputusan itu dicapai oleh Roslin dan Persatuan Badminton Mesir (EBF) pada awal Disember ini.
Tugas utama Roslin sememangnya cabaran besar kerana dia perlu mempersiapkan para pemain Mesir menjelang Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
BACA LAGI: Safuwan Baharudin boleh jadi penentu musim Gergasi Merah
BACA LAGI: Ubai sudah sampai, Nafuzi sabar menanti bintang Sabah-Selangor sebelum jumpa Vietnam
Namun, bukan itu saja, Roslin berdepan cabaran untuk mengeluarkan para pemain Mesir dari zon selesa kerana negara tersebut bukannya kuasa besar badminton.
"Saya mengambil skop baharu dalam kerja. Cabaran yang menanti sememangnya besar, dari apa yang saya lihat, tanggungjawab yang saya perlu galas bukannya mudah, bukan sekadar jurulatih namun sebagai pengarah teknikal dan ketua jurulatih.
"Ia adalah tanggungjawab besar dan saya akan berikan yang terbaik.
"Kita boleh lihat yang tahap badminton di sini bukannya tinggi. Jadi saya ingin membuat sesuatu yang boleh menolak para pemain Mesir keluar daripada zon selesa," kata Roslin.
Melihat kepada rekod, hanya gandingan beregu campuran iaitu Adham Hatem Elgamal-Doha Hany yang berada dalam zon 100 terbaik dunia iaitu tempat ke-86.
Selain itu, Elgamal juga menduduki tempat ke-178 dunia bagi kategori perseorangan lelaki, selain Nour Ahmed Youssri (122 - perseorangan wanita), Ahmed Ali Bahnsawy-Ezzat Kareem (210 - beregu lelaki) dan Nour Ahmed Youssri-Doha Hany (169 - perseorangan wanita).
Sebagai rekod, Roslin menyertai jejak langkah adiknya iaitu Hafiz yang berkelana di luar negara dengan melatih skuad Arab Saudi.
Selain Hafiz, beberapa nama tempatan lagi turut melatih skuad luar seperti Lee Wan Wah (Jepun), Wong Choon Hann (Hong Kong) dan Tan Kim Her (India). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
