KETEGANGAN di Liverpool terus memuncak apabila Mohamed Salah mendakwa dirinya dijadikan 'kambing hitam' susulan keputusan Arne Slot meletakkannya di bangku simpanan sekali lagi ketika pasukannya seri 3-3 menentang Leeds United pada Sabtu.
Krisis prestasi The Reds berlarutan dengan hanya dua kemenangan dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) terakhir, menyaksikan mereka kini berada di tangga kelapan.
Salah yang menjaringkan dan mencipta 57 gol sepanjang musim lalu, tidak diturunkan langsung di Elland Road dan telah memulakan tiga perlawanan berturut-turut di bangku simpanan.
BACA LAGI: Salah tinggalkan Liverpool: Isak-Wirtz juga terkena ‘tempias’
BACA LAGI: Bukan hanya Jairo, 2 lagi bekas striker JDT tak kalis kritikan walau tajam depan gol

Hubungan antara Salah dan Slot dilaporkan semakin tegang. — Agensi
Bercakap kepada media selepas perlawanan, bintang Mesir itu meluahkan rasa kecewanya dan mengakui hubungan profesionalnya dengan Slot kini retak.
“Ini kali ketiga saya di bangku simpanan, mungkin pertama kali dalam karier saya. Saya sangat kecewa. Saya sudah berikan begitu banyak untuk kelab ini selama bertahun-tahun terutama musim lalu.
"Sekarang saya hanya duduk di bangku tanpa penjelasan. Ia seolah-olah kelab melepaskan tangan dan menuding kesalahan kepada saya," katanya.
Salah turut mendakwa janji yang dibuat kepadanya pada musim panas lalu tidak ditunaikan.
“Banyak janji diberi, tetapi sekarang saya memanaskan bangku tiga perlawanan berturut-turut. Sukar untuk saya katakan mereka menunaikan janji itu,” ujarnya.
Mengenai hubungannya dengan Slot, Salah berkata, hubungan baik yang pernah wujud kini hilang.
“Saya selalu cakap hubungan kami baik, tetapi tiba-tiba ia tiada. Saya tidak tahu mengapa, tetapi dari apa yang saya lihat, seakan-akan ada pihak yang tidak mahukan saya di kelab ini," ujarnya.
Pada masa sama, Salah turut memberi bayangan masa depannya bersama Liverpool mungkin berakhir selepas dia pulang dari Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bersama Mesir pada Januari nanti.
“Saya akan menikmati perlawanan menentang Brighton pada 13 Disember nanti kerana saya sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku selepas itu.
"Saya akan berada di Anfield untuk mengucapkan selamat tinggal kepada para penyokong sebelum ke AFCON,” katanya.
Salah dijadualkan melapor diri bersama skuad kebangsaan Mesir pada 15 Disember. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
