Ubai sudah sampai, Nafuzi sabar menanti bintang Sabah-Selangor sebelum jumpa Vietnam


  • Podium
  • Sabtu, 06 Dis 2025

Nafuzi sabar menanti tiga bintangnya untuk menyertai skuad Malaysia di Sukan SEA.

JURULATIH skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia, Nafuzi Zain mengesahkan satu daripada tiga pemain utamanya sudah tiba di Thailand untuk membawa cabaran negara di Sukan SEA.

Pemain Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul sudah tiba di Thailand selepas dia menyelesaikan tugasan Liga Super bersama kelabnya menentang Kuching City FC pada Jumaat.

Bercakap selepas menang 4-1 ke atas Laos pada aksi pembukaan kumpulan B pada Sabtu, Nafuzi berharap dua lagi pemain iaitu Fergus Tierney dan Izwan Yuslan akan tiba sebelum berdepan Vietnam.

BACA LAGI: Tak dapat minit di Singapura, dengarnya Safuwan Baharudin kembali ke Selangor

BACA LAGI: Kim Swee bukan jawapan TFC, jadi apa lagi?

"Kami mempunyai skuad dengan 23 pemain namun ada tiga yang masih belum dilepaskan kerana komitmen bersama kelab.

"Kapten kami, sudah sampai di Bangkok pada Sabtu selepas bermain dalam Liga Super pada Jumaat. Seorang lagi bermain untuk Selangor FC dan kami masih menanti perkembangan seterusnya. Kami masih berharap dapat kumpulkan semua pemain dalam skuad kami," kata Nafuzi.

Menurut Nafuzi, dia cuma mempunyai 18 pemain untuk perlawanan bertemu Laos kerana ketiadaan tiga nama itu termasuk seorang yang terpaksa disisihkan akibat tidak sihat.

Pada aksi pertama peringkat kumpulan, Malaysia bangkit selepas dikejutkan dengan gol awal Laos oleh Xaysombath Bounphaeng pada minit ke-4.

Haykal Danish menyamakan kedudukan pada minit ke-33 sebelum Malaysia menyumbat tiga lagi gol pada separuh masa kedua hasil dua jaringan pantas Haqimi Azim (minit ke-59) dan Moses Raj (minit ke-61).

Muhammad Abu Khalil melengkapkan kemenangan dengan gol pada minit ke-90 untuk memastikan jaringan besar dibawa sebelum berdepan Vietnam pada 11 Disember. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram