'Nampak dari orbit', angkasawan NASA rakam foto Masjidil Haram bercahaya


  • Benua
  • Khamis, 04 Dis 2025

Gambar ditangkap dari angkasa itu memaparkan Tanah Suci Mekkah bercahaya. — Agensi

SEORANG ahli astronomi yang merangkap angkasawan NASA sempat merakam detik penuh keajaiban baru-baru ini apabila menangkap gambar Masjidil Haram dekat Mekkah, Arab Saudi penuh bercahaya.

Dalam satu hantaran di laman X peribadi, Don Pettit berkongsi foto mengagumkan itu yang sempat diambil selepas dia baru sahaja pulang dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

"Pemandangan Mekkah, Arab Saudi dari Orbit. Kawasan cerah di tengah itu merupakan Kaabah, kawasan suci bagi umat Islam yang boleh dilihat walaupun dari angkasa," tulisnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pantai Bisikan Bayu penuh sisa sampah, imej Kelantan sebagai 'Serambi Mekah' tercalar

BACA LAGI: 'Hanya berguru Threads dan ChatGPT', mutawwif kecewa Gen Z ambil mudah laksana 'umrah DIY'

Don Pettit cukup terkenal dengan hasil kerjanya sebagai ahli astrofotografi. — Agensi

Pettit sememangnya tidak lagi asing dalam dunia fotografi angkasa selepas mencipta reputasi ketika menyertai misi di ISS dari September 2024 hingga ke April lalu.

Dia mengambil gambar cukup bermakna itu dari kaca khas di stesen berkenaan menggunakan kamera beresolusi tinggi jenama Nikon.

Dalam foto berkenaan, Masjidil Haram kelihatan sungguh bercahaya ketika waktu malam dengan kawasan sekelilingnya kegelapan dan hanya diterangi lampu jalan.

Berdasarkan penjelasan dari sudut saintifik, kawasan suci itu tampak cerah dan bercahaya disebabkan penggunaan lampu LED dan lampu berasaskan sodium.

Penggunaannya secara berterusan boleh dikesan menggunakan kamera khas ISS yang cukup sensitif dengan cahaya meskipun beribu-ribu kilometer jauhnya.

Kredit masih perlu diberikan kepada Pettit memandangkan usaha mengambil gambar dari ruang angkasa merupakan satu cabaran hebat.

Malah, dia yang sudah bertahun-tahun menimba ilmu dalam dunia astrofotografi dan kejuruteraan kimia berjaya mengatasi ujian itu dalam menterjemahkan imej seindah itu bagi membolehkan orang ramai menatapnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram