'Hanya berguru Threads dan ChatGPT', mutawwif kecewa Gen Z ambil mudah laksana 'umrah DIY'


  • Massa
  • Rabu, 03 Dis 2025

Ramai menggalakkan ibadah umrah dilaksanakan dengan kehadiran mutawwif bagi mengelak kekeliruan. — Gambar hiasan

SUDAH menjadi kebiasaan apabila generasi hari ini gemar melaksanakan ibadah umrah secara sendiri atau turut dikenali sebagai umrah do-it-yourself (DIY).

Keputusan sebegitu diambil kerana kos lebih rendah memandangkan seseorang Muslim hanya perlu membayar kos peribadi tanpa perlu mengupah mutawwif.

Berdasarkan anggaran semasa, kos diperlukan untuk melaksanakan ibadah itu secara DIY adalah hanya kira-kira RM4,000 yang jauh lebih rendah berbanding pakej ditawarkan.

BACA LAGI: Enam tahun jadi rider p-hailing, Hamdi mampu bawa keluarga pergi umrah, langsai hutang rumah

BACA LAGI: Hawa Rizwana capai impian tunai umrah bersama ibu, syukur urusan kali pertama dipermudahkan

Kehadiran mutawwif boleh membantu Muslim yang mengerjakan ibadah umrah bagi mengelak melakukan kesilapan. — Gambar hiasan

Malah, semakin ramai mula berbuat demikian kerana kecanggihan teknologi membolehkan mereka mengakses maklumat dan kaedah dalam melaksanakan ibadah itu.

Bagaimanapun, umrah DIY masih boleh mengundang mudarat sekiranya tidak dilakukan berdasarkan syara' seperti mana disuarakan pengguna Threads, Izzuddin Rosman.

Dalam satu komen berhubung isu berkenaan baru-baru ini, dia yang juga bertugas sebagai mutawwif menyuarakan keluhan berhubung perkara terbabit.

"Aku risau tengok ramai juga Gen Z yang pergi sendiri, tak tahu hukum hakam dan main hentam bergurukan Threads dan ChatGPT. Aku tak untung apa-apa pun kalau mereka pergi dengan TA (travel agency) sekali pun, gaji aku tetap jalan.

"Tetapi, sebagai seorang mutawwif dan saudara se-Islam, aku sangat risau. Kau langgar pantang larang ihram, umrah kau tak sah dan tak sempurna. Sampai nak nikah pun tak boleh kalau kekal dalam ihram. Nak nikahkan anak perempuan pun tak boleh," katanya.

Pelaksanaan ibadah umrah perlu dilakukan secara teliti bagi mengelak sebarang bentuk kesalahan. Agensi

Kehadiran mutawwif ketika melaksanakan ibadah umrah boleh menjelaskan kesilapan kerap terjadi dan cara untuk mengelak daripada perlu dikenakan bayaran dam.

Penjelasan pengguna Threads berkenaan turut disokong orang ramai yang khuatir sekiranya trend itu dinormalisasikan, ia boleh mengundang mudarat lebih besar.

"Saya pun setuju, pertama kali pergilah dengan mutawwif. Ambil ilmu dan pengalaman dahulu semasa di sana, terutamanya semasa mahu buat tawaf wada' (tawaf selamat tinggal).

"Ustaz kata nampak macam mudah dan senang nak jaga, tetapi kalau sudah langgar pantang larang, boleh kena dam seekor kambing," kata Ukhti Ziera.

"Terima kasih atas perkongsian ini, ia merupakan peringatan cukup baik. Saya setuju dengan semua orang, bab dan ilmu agama sebegini tak boleh diambil ringan.

"Salah langkah, kita yang menanggung akibatnya. Kena tengok balik niat sebenar, adakah betul-betul untuk beribadah atau sebenarnya cuma untuk beriadah?" kata Imanadzmara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram