Bawa anak usia setahun kerjakan umrah, ibu bapa kongsi 9 tip ibadah bersama si kecil


  • Bonda
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Pasangan suami isteri berkongsi tip membawa anak menunaikan ibadah umrah. — Threads/cikkalofa

MENUNAIKAN umrah merupakan impian setiap Muslim, namun bagi pasangan yang mempunyai anak kecil, persoalan sama ada wajar membawa mereka ke Tanah Suci sering menjadi tanda tanya.

Ada yang bimbang perjalanan panjang akan memenatkan, ada juga risau ibadah tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Hakikatnya, pengalaman menunaikan umrah bersama anak-anak kecil bukan sahaja mencabar, tetapi juga mampu memberi hikmah yang besar jika dilakukan dengan persediaan rapi.

BACA LAGI: 'Suami pernah tercampak keluar kerana beriba', ibu terapkan 3 anak duduk 'car seat' sejak bayi demi keselamatan

BACA LAGI: 'Kalau aku mati, siapa jaga anak isteri', sakit apendiks buat Zukiee kembali imbau pengorbanan arwah ibu

Seorang ibu kepada dua cahaya mata berkongsi pengalamannya ketika membawa anaknya menunaikan umrah seawal usia setahun.

Jelasnya, biarpun berdepan cabaran dan kesukaran dalam mengerjakan ibadah, namun hikmah besar dapat diraih apabila anak-anaknya turut terdedah kepada suasana ibadah sejak kecil.

Ibadah tawaf menjadi tumpuan setiap umat islam di pelusuk dunia.

 

Berikut lapan tip utama yang dikongsikan @cikkalofa untuk ibu bapa yang berhajat membawa anak kecil menunaikan umrah:

 

1. Doa dan berfikiran positif

Sebelum berangkat, pasangan suami isteri itu sentiasa berdoa agar ibadah dipermudahkan dan anak-anak tidak meragam.

Membaca doa, surah Al-Insyirah dan tiga Qul antara amalan untuk menenangkan mereka.

2. Sentiasa bercerita tentang Mekah dan Madinah

Anak-anak diberi pendedahan awal melalui gambar, video dan kisah tentang Kaabah serta suasana ibadah, agar mereka lebih teruja sepanjang perjalanan.

3. Permainan dan gadget

Perjalanan jauh tidak menjadi masalah kerana si kecil terhibur dengan kartun di dalam pesawat dan permainan yang dibawa.

Namun, di Mekah dan Madinah anak-anaknya dibenarkan bermain dan meneroka suasana sekitar tanah suci.

 

 

4. First aid kit

Bekalan ubat amat penting kerana perubahan cuaca boleh menyebabkan anak demam atau selesema.

Malah, ia sangat membantu kerana klinik dan ubat-ubatan di Mekah dikatakan agak mahal dan sukar didapati terutamanya melibatkan golongan bayi bawah usia empat tahun.

5. Kerjasama dan toleransi

Peranan ibu bapa perlu dibahagi dengan baik dengan kedua-duanya harus saling membantu dalam soal penjagaan anak.

Paling utama adalah ketika mengerjakan ibadah tawaf yang amat memerlukan tenaga di sebalik lambakan para jemaah yang turut menunaikan ibadah tersebut.

6. Makanan

Tidak perlu risau soal makanan kerana jemaah di sana pemurah dan anak-anak sering diberikan makanan ringan.

Malah, air zam-zam pula menjadi minuman utama sepanjang masa.

7. Stroller dan baby carrier

Walaupun stroller tidak dibenarkan di dalam Masjidil Haram, ia berguna di lapangan terbang atau semasa ziarah ke makan rasul.

8. Tawaf dengan anak-anak

Perkhidmatan skuter di tingkat tiga Masjidil Haram membantu ibu bapa menunaikan tawaf sambil membawa anak.

Ia juga secara tidak langsung menjadi daya tarikan dan keseronokan buat anak-anak ketika bertawaf hingga tertidur ditiup angin malam Mekah.

9. Bersabar

Antara hikmah terbesar dalam mengerjakan umrah bersama si kecil ialah latihan kesabaran.

Walaupun mencabar, pengalaman itu penuh rahmat dan keberkatan yang akhirnya mengeratkan hubungan sesama keluarga selepas pulang dari mengerjakan umrah.

"Pengalaman bawa anak sangat sangat berbaloi dan banyak rahmat barakah kita dapat sebab anak pun salah satu penyumbang rezeki kita, jangan sesekali cakap menyusahkan Insha-ALLAH, ALLAH permudahkan," katanya mengakhiri perkongsian.

Pengalaman itu membuktikan bahawa membawa anak kecil menunaikan umrah bukanlah penghalang, malah boleh menjadi kenangan berharga serta pendidikan awal yang mendidik anak-anak mencintai ibadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram