
JABATAN Peguam Negara (AGC) memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan bersama dua individu lain.
AGC dalam satu kenyataan pada Selasa malam berkata, pertuduhan terhadap Dr Muhamad Akmal dibuat susulan satu hantaran di akaun Facebook menggunakan nama "Akmal Saleh".
Selain beliau, turut akan didakwa ialah Muhammad Hilman Idham berhubung hantaran di akaun TikTok "alfah.channel.tv" serta Siti Hajar Aflah Sharuddin berkaitan kenyataan di akaun TikTok "SHA_Abrienda".
BACA LAGI: Akmal Saleh disoal siasat 2 jam, 80 soalan
BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Kedah raja trek, lebur rekod 100 meter di MSSM Perlis
Seorang lagi individu, Chandrasegaran Subramaniam pula bakal berdepan tindakan undang-undang berhubung kenyataan yang dimuat naik di akaun TikTok "cikguchandra3".
Menurut AGC, selepas meneliti bukti dan keterangan yang diperoleh, pihaknya memutuskan untuk menfailkan pertuduhan terhadap Dr Muhamad Akmal, Muhammad Hilman dan Siti Hajar bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
"Semua pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret dalam masa terdekat.
“Berdasarkan keterangan dan bukti diperoleh, kenyataan yang dibuat mereka didapati mengancam ketenteraman awam atau melibatkan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar,” kata AGC.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal dalam satu hantaran di Facebook mengesahkan beliau kini berada di Mekah menunaikan umrah.
“Saya akan pulang awal untuk menghadiri pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada jam 8 pagi, Jumaat ini (22 Ogos). Jumpa di mahkamah,” katanya sambil memuat naik sebuah video.
Mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, seseorang boleh didakwa jika membuat kenyataan yang berkemungkinan menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram