Hawa Rizwana capai impian tunai umrah bersama ibu, syukur urusan kali pertama dipermudahkan


  • Bonda
  • Ahad, 16 Nov 2025

Hawa Rizwana syukur berpeluang kali pertama menunaikan ibadah umrah bersama ibunya.

PENGACARA dan personaliti televisyen, Hawa Rizwana berkongsi momen mengharukan apabila akhirnya berpeluang menunaikan umrah buat pertama kali bersama ibunya.

Momen itu digambarkan sebagai satu impian yang sudah lama tersimpan sejak mula melangkah ke alam pekerjaan beberapa tahun lalu.

Menurutnya, perjalanan umrah kali ini bukan sekadar memenuhi hasrat peribadi, tetapi juga memberi makna lebih besar kerana dapat melalui pengalaman tersebut bersama insan yang paling rapat dengannya.

"Alhamdulillah untuk umrah pertama kali ini, Hawa pergi bersama ibu, itu sudah cukup membuatkan Hawa rasa ini masa yang tepat," katanya.

BACA LAGI: Yana Samsudin selamat bersalin anak ke-4, suami sempat gurau isteri 'pertama' paling muda, azan 'lip sync'

BACA LAGI: Henti diskriminasi warna kulit, air kelapa bantu lahir bayi ‘kulit putih’ cuma mitos — Dr. Imelda Balchin

Hawa Rizwana (tengah) ketika menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.

 

Perjalanan lancar

Pengalaman pertamanya mengerjakan umrah berjalan lancar sejak berangkat dari lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA) sehinggalah tiba di tanah suci malah, beliau turut menitip rasa syukur kerana setiap urusan dipermudah tanpa sebarang halangan besar.

"Sejak dari KLIA lagi kita dah nampak perjalanan smooth, dari Jeddah ke Mekah, kemudian ke Madinah pun semuanya sangat dipermudahkan," katanya.

Antara detik paling bermakna bagi Hawa adalah saat menerima makluman bahawa seluruh jemaah wanita dalam kumpulan tersebut diberi rezeki memasuki Raudhah sebanyak dua kali.

"Alhamdulillah malam ni kesemua jemaah umrah for ladies berpeluang untuk memasuki Raudhah dan waktu tu rasa eh, yeke? Sebab masing-masing ada slot hari Rabu dan Khamis.

"Tapi Alhamdulillah maksudnya total kita dapat masuk ke Raudhah dua kali dan malam pertama tu kita dapat experience beramai-ramai masuk ke Raudhah.

"Dari situ kita belajarlah tempat-tempatnya di dalam Raudhah tu, tempat macam tiang Sayyidina Aisyah, tiang Taubat dan tempat pemakaman Nabi Muhammad, itulah bagi Hawa antara highlight di Madinah," ujarnya.

 

 

 

Berdebar kali pertama

Sebagai jemaah yang pertama kali menunaikan umrah, Hawa mengakui dirinya pada awalnya berdebar terutama ketika melakukan ibadah secara sendiri tanpa bimbingan langsung.

Namun selepas dua kali dibantu oleh mutawif, beliau akhirnya diberikan peluang mengerjakan umrah dengan sendirinya.

"Mula-mula memang berdebar, tapi bila buat sendiri rasa macam semuanya sangat smooth. Kalau tak mula buat sendiri, sampai bila nak belajar," katanya sambil mengakui pengalaman itu memberikan keyakinan baharu buatnya di masa akan datang.

Selain praktikal ibadah, Hawa juga menyatakan dirinya terkesan dengan sesi perkongsian tentang sirah Nabi Muhammad SAW oleh para ustaz dan ustazah yang membimbing kumpulan mereka.

"Hawa lebih mendalami lagi perjuangan Nabi Muhammad dan menyayangi lagi agama kita, Islam, jadi bukan sahaja kita mengerjakan umrah tapi dalam masa sama kita kenal lagi agama kita," jelasnya.

Latar belakang

Untuk rekod, Hawa Rizwana, 29, merupakan graduan bidang pengajian Ijazah Sarjana Komunikasi Massa (Kewartawanan) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kini meneruskan kerjaya sebagai hos penyiaran di sebuah stesen televisyen.

Sebagai pengacara, Hawa mula dikenali menerusi Buletin Utama, Malaysia Hari Ini dan pelbagai program terbitan TV3 serta aktiviti kemasyarakatan berkaitan belia serta kesedaran sosial.

Terdahulu, Hawa turut melibatkan diri dalam kursus Entrepreneurship Acceleration Programme selama 10 hari di Universiti Oxford, United Kingdom, sebagai sebahagian daripada penglibatan dirinya dalam bidang perniagaan.

Malah, anak kedua daripada tiga beradik tersebut juga pernah tampil dalam temu bual konvokesyen UiTM ke-95 sebagai graduan cemerlang, memperkukuh reputasinya sebagai figura yang bukan sekadar menawan dari sudut rupa, tetapi juga kecemerlangan akademik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram