[VIDEO] Tragedi umrah: 18 ahli keluarga maut, 3 generasi 'hilang' sekelip mata dalam nahas bas terbakar


  • Bonda
  • Khamis, 20 Nov 2025

Gambar 18 ahli keluarga yang kini tinggal kenangan selepas perjalanan umrah mereka berakhir dengan tragedi ngeri bas terbakar sewaktu menuju ke Madinah.

HASRAT sebuah keluarga besar untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci berakhir dengan tragedi memilukan.

Ia susulan 18 ahli keluarga mereka maut dalam satu kebakaran bas di Arab Saudi, ketika dalam perjalanan menuju ke Madinah.

Kejadian menyayat hati itu bukan sahaja meragut nyawa ketua keluarga, malah 'melenyapkan' terus tiga generasi keluarga Shaik termasuk 10 orang cucu dalam sekelip mata pada 18 November lalu.

BACA LAGI: 'Anda tak pernah tua pegang tangan ibu', pempengaruh ingatkan hargai masa bersama ibu bapa

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa jadi perisai hidup lindungi anak perempuan dalam cubaan rompakan berkumpulan

Keluarga yang menetap di India itu sebelum ini berangkat penuh kegembiraan bagi mengerjakan ibadah umrah.

Namun, kini hanya tinggal seorang waris terdekat, Siraj Shaik yang menetap di Amerika Syarikat kerana beliau tidak menyertai rombongan tersebut.

Beberapa hari sebelum kejadian, suasana di kediaman keluarga itu dipenuhi gelak tawa dan persiapan terakhir hari sebelum berangkat ke Kota Suci Mekah.

Mereka dilaporkan meninggalkan Hyderabad pada 9 November lalu selepas dimaklumkan oleh datuk mereka, Naseeruddin Shaik, 70.

Turut terkorban ialah isterinya, Akhtar Begum, 62, anak lelaki mereka, Salahuddin Shaik, 42, serta tiga anak perempuan iaitu Ameena Begum, 44, Shabana Begum, 40, dan Rizwana Begum, 38.

Dua menantu perempuan, Farhana Sultana, 37, dan Sana Sultana, 35, turut maut dalam kejadian itu.

Lebih memilukan, 10 orang cucu yang masih kecil dan remaja turut menjadi mangsa korban.

Mereka ialah Anees Fathima, 25, Zainuddin Shaik, 12, Rida Tazeen, 10, Mehrish Fatima, 10, Mariyam Fatima, 7, Umaiza Fatima, 5, Tasmia Tahreen, 3, Huzaifa Jaffar Syed, 3, Uzairuddin Shaik, 3, dan si kecil Mohammad Shazain Ahmed yang baru berusia dua tahun.

Abang kepada Farhana, Rashid, berkata, dia masih terkejut dan sukar menerima hakikat tersebut.

"Seluruh keluarga sangat gembira. Saya sempat bercakap dengan Salahuddin pada Ahad. Mereka dalam perjalanan ke Madinah dan sepatutnya tiba pada petang Isnin.

"Kami malah menghantar mereka ke lapangan terbang. Tiba-tiba, kami mendapat panggilan memaklumkan kemalangan itu berlaku," katanya.

Naseeruddin hanya meninggalkan seorang anak lelaki, Siraj Shaik kini keseorangan menanggung beban kehilangan yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Suami kepada Ameena, Shabana dan Rizwana yang menetap di lokasi berasingan di bandar itu menerima panggilan awal pagi yang merentap kebahagiaan hidup mereka.

Keluarga Shaik sudah menjadi sebahagian daripada komuniti Vidyanagar sejak hampir sedekad lalu selepas Naseeruddin bersara.

Rakan rapat keluarga, Imran Sharif menyifatkan Salahuddin yang mengusahakan perniagaan logistik sebagai saudara kandungnya sendiri.

"Kini kami sedang berurusan dengan jawatankuasa Haji dan pihak berkuasa untuk melihat sama ada saudara mara boleh ke sana untuk urusan jenazah atau jenazah akan dibawa pulang," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram