[VIDEO] ‘Saya cukup faham kerusi roda ibarat kaki bagi orang seperti kami’, bekas atlet para negara sebak dijemput jadi tetamu ALLAH


  • Podium
  • Rabu, 08 Okt 2025

Zulkafli merupakan pemenang pingat perak Sukan Para Asia Hanoi 2003.

'SAYA memang sangat terharu. Tak sangka langsung ALLAH akan jemput saya dengan keadaan dan kemampuan saya sekarang'. 

Demikian kata-kata bekas atlet badminton para kebangsaan, Zulkafli Mohd Shaari, 52, yang tidak mampu menahan sebak apabila menerima berita bahawa dia bakal menunaikan umrah tidak lama lagi.

Bagi pemenang pingat perak Sukan Para Asia Hanoi 2003 itu, peluang menjadi tetamu ALLAH merupakan hadiah paling bermakna selepas lebih dua dekad berbakti dalam dunia sukan dan masyarakat orang kelainan upaya (OKU).

BACA LAGI: Rashid Sidek meriahkan pertandingan Bowling SAM-YAKEB 2025 edisi ke-3

BACA LAGI: Golf amal Pekema sasar kutipan RM150,000 bantu rumah kebajikan, sedia pertimbang tolong ahli Yakeb

"Saya sangat-sangat berterima kasih sebab ini benda yang saya tak sangka. Ini semua kerja ALLAH. Kalau dia nak jemput itu, apa cara sekali pun ALLAH bagi. Cuma kita, banyakkan tawakkal. Yang penting niat tu dah. 

"Dengan kemampuan saya sekarang pun, saya rasa saya tak akan dapat. Saya tak akan dapat dalam masa terdekat ni kerana banyak keutamaan lain. Tapi bila saya dapat peluang macam ni, memang saya bersyukur sangat-sangat.

"Setiap kali tengok kawan atau jiran balik dari Mekah, saya terdetik, bila pula giliran saya? Hari ini ALLAH makbulkan doa saya, saya rasa gembira yang tak terkata,” katanya dengan nada sebak kepada Majoriti.

Zulkafli, yang ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor antara lima bekas atlet menerima tajaan program umrah Jejak Asnaf anjuran bersama Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Majoriti. 

Zulkafli ketika bersama wakil pihak ikhlas.com, YAKEB dan Majoriti. 

Selepas bersara daripada sukan, Zulkafli membuka bengkel membaiki dan menyesuaikan kerusi roda untuk membantu rakan-rakan OKU lain, satu usaha yang lahir daripada pengalaman sendiri memahami keperluan pengguna berkerusi roda.

Menariknya, apabila Zulkafli tidak mengejar keuntungan dengan dia hanya menganggap setiap kerja membaiki sebagai amal jariah dan salah satu insiatifnya bag membantu rakan seperjuangan lain. 

"Kerusi roda bagi kami ibarat kaki. Kalau rosak, maknanya kami tak boleh bergerak. Sebab tu bila kawan telefon tengah malam pun, saya tetap tolong. Kadang tayar pancit, kadang kerusi pecah memang saya baiki saja. 

"Ini cara saya memberi kerana saya tahu nak bagi duit tak boleh, jadi saya bagilah dalam bentuk ini. Lepas itu, saya pula tak juga saya tak nak kawan-kawan tertipu jika ke bengkel lain. 

"Saya tahu bukan semua orang mampu. Jadi saya bantu ikut kemampuan mereka. Saya tak fikir untung, saya fikir pahala. Mungkin inilah balasan ALLAH bukan dalam bentuk wang, tapi peluang ke rumah-Nya,” tambah Zulkafli.

Zulkafli membuka bengkel membaiki dan menyesuaikan kerusi roda.

Menghitung hari kira-kira sebulan lagi akan berangkat ke Tanah Suci pada 11 November ini, Zulkafli tidak menafikan doanya nanti di sana tertumpu kepada keluarga dan sahabat-sahabat yang banyak membantunya.

"Apa yang saya nak panjangkan, keutamaan daripada doa saya lebih kepada untuk kesihatan kesihatan diri saya kepada keluarga saya, isteri-isteri, anak saya dan sebenarnya kehidupan anak saya.

"Sebab dengan keadaan saya macam ni, saya pun tak tahu saya berapa lama untuk bertahan. Jadi semoga anak saya berjaya dunia dan akhirat. Dalam masa sama, saya berdoa untuk kawan-kawan baik saya yang banyak tolong saya selama ini.

"Saya berdoa supaya mereka pun dijemput sekali diberi kesihatan yang baik, dimudahkan segala urusan mereka. Sebab mereka memang dekat dengan saya. Selain daripada keluarga saya, kawan-kawan semua," kongsinya. 

Walaupun sudah lama meninggalkan gelanggang, Zulkafli terus aktif membantu melatih pelapis baharu dan dia juga menjadi sumber inspirasi kepada ramai atlet para negara. 

Zulkafli (depan,kanan) pada zaman dia bermain untuk negara. 

Antara nama yang pernah dibimbingnya termasuklah pemain tenis para beraksi di Paralimpik, Abu Samah, dan Mejar (B) Yuhaizam Yahya, bekas pemanah paralimpik telah kembali ke rahmatullah pada 2024.

"Saya akan cari kawan-kawan yang senasib dengan saya, saya cuba bawa mereka tengok sukan apa yang mereka boleh. Sekarang ada yang pemain Paralimpik, atlet Paralimpik berkerusi roda, kebanyakan ketengahkan mereka. Saya yang gilap.

"Sebab bila mereka tengok keadaan kita dah berjaya, mereka jadikan kita mentor. Sampai sekarang dengan keadaan begini, saya masih lagi di belakang tabir dengan keadaan macam ini lah," jelasnya. 

Kini, sebagai ahli sekretariat OKU Kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan, Zulkafli menyeru bakat-bakat muda komuniti berkenaan agar tidak cepat berputus asa.

"Jangan mudah mengalah. Dalam sukan ini, tiada jalan mudah. Tapi kalau usaha berterusan dan yakin pada rezeki ALLAH, pasti ada sinar," pesannya penuh makna kepada atlet muda.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram