Tak mustahil berulang, cuma Selangor II ada 'rahsia' elak dipintas saat-saat akhir macam musim lepas


  • Podium
  • Isnin, 24 Nov 2025

Skuad muda Gergasi Merah memiliki kualiti terbaik untuk membawa pulang mahkota Liga A1 Semi Pro musim ini. — Facebook/Selangor FC

PRESTASI cemerlang ditunjukkan Selangor FC II dalam Liga A1 Semi Pro 2025/26 selepas tidak mengalami sebarang kekalahan dalam 12 perlawanan setakat ini.

10 kemenangan dan dua keputusan seri tersebut memastikan skuad muda Gergasi Merah mencatatkan 32 mata yang mengukuhkan kedudukan pasukan itu di tangga teratas setakat ini.

Malah, kelebihan besar turut dimiliki mereka berbanding pencabar terdekat, Johor Darul Ta'zim (JDT) II di tangga kedua dengan enam mata membezakan kedua-dua pasukan pilihan itu.

BACA LAGI: Bukan lagi Selangor, Skuad Jang destinasi terbaik 3 bintang Liga A1 jika mahu ‘naik pangkat’

BACA LAGI: Dulu tangkas di pintu gol, Helmi Eliza antara kiper kembali berbakti bersama kelab lama

Selangor FC II kelihatan selesa di kedudukan teratas Liga A1 Semi Pro musim ini. Facebook/AFL

Ruang berkenaan memberi sedikit keselesaan buat Selangor FC II yang tidak perlu terburu-buru dalam mengejar kemenangan memasuki fasa pertengahan liga.

Bagaimanapun, sesetengah penyokong pasti kurang yakin akan kebolehan anak-anak buah Saiful Nizam Khamis untuk menjuarai pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) itu.

Ini kerana musim lalu, pasukan itu mensia-siakan rentak dan kelebihan dalam saingan Piala MFL hingga menyaksikan takhta tersebut menjadi milik JDT II.

Situasi itu tidak mustahil terjadi dalam kempen Liga A1 Semi Pro kali ini, lebih-lebih lagi sekiranya Selangor FC II gagal mengekalkan rentak.

Skuad muda Gergasi Merah mencicirkan peluang menjuarai Piala MFL musim lalu. Facebook/Selangor FC

Namun, berdasarkan penilaian, kerisauan itu tidak sepatutnya disuarakan, namun sebaliknya meletakkan keyakinan penuh buat generasi pelapis Gergasi Merah.

Sekiranya perbandingan dibuat antara kedua-dua musim itu, skuad mereka kali ini lebih lengkap dari segi pertahanan serta serangan.

38 gol dijaringkan membuktikan Selangor FC II tidak mensia-siakan peluang di hadapan pintu gawang lawan sementara enam gol dilepaskan menceritakan betapa kukuhnya benteng pasukan.

Kedua-dua aspek itu membuktikan skuad muda Gergasi Merah lebih baik berbanding pasukan lain dalam Liga A1 Semi Pro serta jauh lebih cemerlang berbanding diri mereka sendiri musim lalu.

Skuad muda Gergasi Merah tidak berdepan masalah ketika berdepan Kedah FA. Facebook/Selangor FC

elain itu, ketika berdepan lawan mencabar, skuad Gergasi Merah tidak melakukan perubahan besar terhadap gaya permainan dengan terus melancarkan serangan.

Aksi ketika berdepan Kelantan WTS FC, Kedah FA dan Imigresen FC II yang masing-masing beraksi baik musim ini menceritakan keazaman Selangor FC II yang tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

Namun, masih perlu diingatkan bahawa skuad muda Gergasi Merah belum berdepan Perak FA dan JDT II yang masing-masing berada dalam kelompok tiga teratas.

Sekiranya mahu mengukuhkan status sebagai pasukan pilihan, perlawanan dengan kedua-dua kelab itu perlu diletakkan sebagai platform untuk membuktikan diri Selangor FC II.

Konsistensi dalam memastikan setiap pemain meraih minit permainan mencukupi dan mengelak kecederaan serius berlaku boleh memastikan pasukan berkenaan juara kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram