SKUAD Harimau Malaya menunaikan impian Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski untuk menutup 2025 dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Nepal 1-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam perlawanan itu, kapten Selangor FC, Faisal Halim yang masuk menggantikan Arif Aiman Hanapi muncul wira Harimau Malaya apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi memastikan tiga mata kekal di gelanggang keramat skuad kebangsaan.
Gol kemenangan itu hadir selepas beberapa percubaan skuad kebangsaan gagal menembusi benteng pertahanan Nepal, namun jaringan tunggal tersebut sudah memadai untuk mengekalkan rekod bersih Malaysia.
BACA LAGI: Jangan bunuh bola sepak kita — Safee Sali

Nooa Laine mempamerkan prestasi cukup cemerlang bersama Harimau Malaya. — Facebook/Malaysia NT
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia terus unggul di tangga teratas Kumpulan F dengan 15 mata, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (tiga mata) dan Nepal yang masih tanpa sebarang mata.
Di sebalik momentum cemerlang Harimau Malaya, satu nama muncul sebagai antara pemain paling konsisten bersama Harimau Malaya itu Nooa Laine.
Pemain warisan berusia 23 tahun itu mencatat sejarah peribadi apabila menjadi satu-satunya pemain Harimau Malaya yang beraksi penuh dalam kesemua lapan perlawanan skuad negara pada 2025, menjadikan jumlah minit permainannya mencecah 720 minit tanpa diganti walau sekali.
Ia merupakan satu pencapaian luar biasa, lebih-lebih lagi bagi seorang pemain tengah yang sentiasa terlibat dalam aksi fizikal dan intensif.
Walaupun bukan penyumbang gol, Nooa memainkan peranan penting di tengah padang dengan melakukan tekanan, mematahkan serangan lawan dan menjalankan kerja-kerja ‘kotor’ yang jarang mendapat perhatian.
Namun yang lebih mengagumkan, kerja ‘kotor’ pemain beraksi agresif itu dilakukan secara bersih.

Nooa (kanan) yang merupakan tonggak Gergasi Merah mempamerkan statistik yang kukuh bersama pasukan Lembah Klang itu. — Facebook/selangorfc
Dalam lapan perlawanan, Nooa tidak pernah menerima walau satu kad kuning atau merah, satu statistik yang jarang berlaku bagi pemain dengan peranan defensif sepertinya.
Masih muda dan pernah diberi kepercayaan sebagai kapten ketika menentang Palestin pada 8 September lalu dalam aksi persahabatan, Nooa kini dilihat sebagai salah satu aset paling berharga buat Harimau Malaya.
Di peringkat kelab pula, Nooa yang merupakan tonggak Gergasi Merah turut mempamerkan statistik yang kukuh.
Pemain tengah berketinggian 1.77 meter itu telah membuat 18 penampilan dalam semua pertandingan domestik dan Asia, selain mencatat satu gol dan satu hantaran bantuan gol setakat ini.
Dengan prestasi konsisten di dua peringkat kebangsaan dan kelab, Nooa Laine sedang meletakkan dirinya sebagai nadi penting bola sepak Malaysia, bukan sahaja pada masa kini, tetapi juga untuk masa depan Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
