Ejen dedah Nurillo tak sambung kontrak, ada baiknya 3 kelab buru khidmatnya sebelum disambar skuad luar negara


  • Podium
  • Isnin, 24 Nov 2025

Nurillo sudah tampil dalam 73 perlawanan dengan sudah merekodkan 10 gol dan enam bantuan jaringan. — Facebook/TFC

SEJAK menyertai Terengganu FC (TFC) pada Oktober 2023, Nurillo Tukhtasinov menjadi antara pemain kegemaran penyokong kerana kemampuannya mengawal bahagian tengah dengan baik.

Bagaimanapun, masa depan Nurillo menjadi tanda tanya dengan kontraknya semakin tamat apabila difahamkan kontrak pemain itu akan tamat pada 31 Disember dengan TFC mempunyai pilihan untuk menyambung setahun lagi.

Namun begitu, Nurillo dikhabarkan bakal meninggalkan Terengganu selepas seorang individu dikenali sebagaia Tilavpur memberitahu bahawa pemain itu sedang didekati sebuah kelab luar negara.

BACA LAGI: Jangan bunuh bola sepak kita — Safee Sali

BACA LAGI: Tertipu tawaran kontrak bola, kiper muda Indonesia jadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja

Sekiranya skuad Sang Penyu memilih untuk tidak mahu berunding dengan memberikan kontrak baharu kepada pemain Uzbekistan itu, banyak kelab akan berminat mendapatkan khidmatnya.

Sepanjang hampir tiga tahun bersama kelab Pantai Timur berkenaan, dia sudah tampil dalam 73 perlawanan dengan Nurillo sudah merekodkan 10 gol dan enam bantuan jaringan.

Statistik berkenaan menjadi salah satu faktor beberapa kelab Liga Super perlu berebut mendapatkan kepakarannya sebelum Nurillo disambar oleh pasukan luar negara.

1) Negeri Sembilan

Agyarkwa kemungkinan akan dipanggil semula ke Gergasi Merah. — Facebook/NSFC

Salah satu pasukan sedang meningkat naik musim ini, Negeri Sembilan FC (NSFC) antara kelab Liga Super yang sedang memperbaiki skuad depth mereka bagi terus memberi tentangan kepada lawan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus pernah memberitahu akan menguatkan barisan sedia ada menerusi pengambilan pemain baharu pada jendela perpindahan akan datang.

Nurillo merupakan salah satu pemain diperlukan skuad Jang susulan pasukan terbabit dijangka kehilangan khidmat pemain tengah, Alex Agyarkwa kerana mungkin dipanggil kembali kelab asalnya, Selangor FC dalam masa terdekat.

Walaupun Nurillo dan Agyarkwa berkongsi posisi yang sama, ia jelas tidak menjejaskan peluang pemain berusia 28 tahun berkenaan untuk menyertai skuad Jang nanti.

Sebaliknya, kehadirannya dianggap tepat pada masanya memandangkan ketua jurulatih, Nidzam Jamil terkenal dengan kemampuannya mengenal pasti dan memaksimumkan potensi setiap pemain di bawah kendaliannya.

2) Penang FC

Wan Rohaimi perlu segera memikirkan solusi isu kekurangan pemain berkualiti pasukannya. — Facebook/PenangFC

Penang FC dilihat perlu bertindak segera dalam usaha memperkukuh pasukan apabila bahagian tengah mereka ketika ini tidak mempunyai ramai pemain berkualiti untuk menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Kebergantungan kepada beberapa tonggak tempatan menjadikan posisi itu antara yang paling kritikal untuk diperbaiki, apatah lagi Penang FC kini berada di kedudukan ke-10 Liga Super dan memerlukan suntikan baharu bagi mengubah momentum pasukan.

Antara pemain tengah lokal yang menjadi harapan Harimau Kumbang ketika ini ialah Amirul Hisyam dan Firdaus Saiyadi, manakala pemain import seperti Thiago Fernandes pula lebih banyak memanaskan bangku simpanan tanpa memberi impak besar setakat ini.

Situasi berkenaan membuka ruang kepada skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail untuk mempertimbangkan kemasukan Nurillo yang kini menjadi perhatian kelab luar negara.

Kehadiran Nurillo bukan sahaja mampu menambah kreativiti dan intensiti di kawasan tengah, malah boleh memberikan keseimbangan baharu dalam permainan Penang FC yang sering bergelut menyaingi lawan dalam menyerang.

3) Sabah FC

Cifuentes salah satu pemain tengah harapan The Rhinos. — Facebook/SabahFC

Selama tiga musim Sabah FC menghuni kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super, lain pula jadinya kempen kali ini apabila skuad The Rhinos berada di tangga ke-12 dan belum pernah mencatat kemenangan.

Satu kempen yang memalukan dan salah satu masalah boleh dikesan apabila Sabah FC juga tidak mempunyai lambakan pemain berkualiti dan salah satunya di posisi tengah pasukan.

Sabah FC turut berdepan isu di bahagian tengah apabila pasukan itu banyak bergantung kepada dua pemain utama, Miguel Cifuentes dan Stuart Wilkin untuk menggerakkan tempo permainan serta membina serangan.

Situasi itu menonjolkan kekurangan pilihan berkualiti dalam skuad, lebih-lebih lagi apabila pemain import mereka, Dean Pelekanos dilihat gagal memberi impak dan menampilkan aksi yang agak caca-marba sepanjang musim.

Ketergantungan yang tinggi kepada Cifuentes dan Wilkin bukan sahaja meningkatkan risiko kecederaan akibat beban permainan yang berat, tetapi turut menjejaskan variasi taktikal Sabah FC dalam perlawanan besar.

Oleh itu, Nurillo diperkukan untuk membantu penambahbaikan segera Sabah FC jika mereka mahu kekal kompetitif dalam saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram