Bakal jalani pembedahan lutut, legenda Selangor terima bantuan PM Anwar


  • Podium
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Azman pernah mewarnai skuad Gergasi Merah pada zaman kegemilangan pasukan itu sekitar 1990-an.

LEGASI ditinggalkan bekas pemain negara, Azman Adnan masih meniti bibir peminat tempatan hingga ke hari ini kerana sumbangan dicurahkannya masih mekar di mata penyokong.

Jadi, dalam usaha menzahirkan penghargaan buatnya, pelbagai siri bantuan dihulurkan kepadanya, termasuk yang baru-baru ini diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumbangan berkenaan disampaikan Setiausaha Politik kepada beliau, Farhan Fauzi menjelang prosedur pembedahan bakal dijalaninya pada Rabu depan.

BACA LAGI: Azman Adnan ada dapat elaun, perlu mohon bantuan perubatan — Yakeb

BACA LAGI: Menderita sakit tulang kaki, Azman Adnan terima sumbangan PM Anwar

"Ruang ini saya gunakan untuk sampaikan sumbangan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan keperluan perubatan serta memberi semangat buat beliau.

"Moga proses pembedahan berjalan lancar, dipermudahkan segala urusan dan Abang Man kembali kuat untuk terus menyumbang kepakaran dalam pembangunan bola sepak tanah air," tulisnya.

Ini bukanlah kali pertama bekas penyerang kebangsaan itu menerima sumbangan Perdana Menteri kerana pada tahun lalu, dia turut diberikan sumbangan kerana menderita sakit tulang kaki.

Selain sinonim dengan pasukan negara, Azman juga boleh diangkat sebagai legenda bola sepak Selangor selepas mewakili kelab itu pada era kegemilangannya sekitar 1990-an.

Sepanjang bersama skuad Gergasi Merah, penyerang kelahiran Melaka itu menjulang pelbagai kejuaraan, termasuk empat gelaran Piala Malaysia dan Piala FA 1997.

Berdasarkan statistik, Azman merekodkan 75 penampilan buat skuad kebangsaan dengan 49 jaringan direkodkan di peringkat antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram