SUDAH menjadi kebiasaan untuk mana-mana pemain profesional menceburi bidang kejurulatihan selepas menamatkan karier kerana pengalaman dimiliki boleh dicurahkan kepada generasi baharu.
Hal sebegitu juga dapat disaksikan dalam arena bola sepak tempatan kerana masing-masing tertarik untuk memilih laluan itu dengan ramai sudah mengambil jalan sedemikian.
Meskipun tidak mempunyai banyak pilihan, ada daripadanya mengambil langkah berani dengan menyertai kelab Liga A1 Semi Pro walaupun gaji ditawarkan tidaklah begitu lumayan.
BACA LAGI: Kerap tukar jurulatih ganggu rentak pasukan, Selangor wajar laksana reformasi teknikal
BACA LAGI: [VIDEO] Pemain tertunduk, aksi terhenti lepas jurulatih kelab Serbia meninggal dunia di tepi padang
Namun, pendekatan sedemikian masih diambil kerana mahu membalas jasa bekas pasukan yang dahulunya pernah beraksi dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.
Malah, sedar atau tidak, terdapat sebilangan bekas penjaga gol yang kini bergelar jurulatih selepas bertahun-tahun menampilkan aksi tangkas di pintu gawang.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga jurulatih penjaga gol yang mencurahkan bakti buat kelab pernah diwakili satu ketika dahulu.
1. Helmi Eliza (Kedah FA)
Selepas bertahun-tahun tangkas menjaga gawang, Helmi Eliza Elias memilih untuk menceburi bidang kejurulatihan pada 2024 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan kelab pertamanya.
Tetapi, berikutan masalah pengurusan, dia kemudian meninggalkan skuad Sang Kenari pada awal musim 2025/26 dengan menyertai Kedah FA.

Helmi Eliza (kanan) berjaya membantu menjadikan benteng pertahanan skuad Lang Merah semakin kukuh. — Facebook/Kedah FA
Keputusan itu menyaksikannya kembali bergabung dengan bekas rakan sepasukan seperti Victor Andrag dan Rizal Johari yang juga sebelumnya bersama KDA FC.
Ilmu dan pengalaman dicurahkan Helmi Eliza buat skuad Lang Merah jelas membuahkan hasil apabila pasukan itu mempunyai antara rekod pertahanan terbaik.
Kehadirannya jelas membalas kepercayaan pernah diberikan Kedah FA buat bekas penjaga gol berusia 42 tahun tersebut selepas lebih 10 musim beraksi buat kelab itu dari 2001.
2. Nasril Nourdin (Selangor FC II)
Selangor pernah dihiasi lambakan penjaga gol sepanjang mewarnai arena bola sepak tanah air, termasuk Nasril Nourdin yang menghabiskan tempoh semusim bersama kelab itu sekitar 2009.
Tempoh singkat itu sudah cukup untuk mencipta hubungan baik antara penjaga gawang tersebut dengan skuad muda Gergasi Merah apabila diberi kepercayaan bergelar jurulatih sekitar dua tahun lalu.

Nasril pernah beraksi buat beberapa kelab dalam kariernya sebelum bergelar jurulatih penjaga gol.
Kehadirannya dalam skuad pembangunan Selangor FC mula membuahkan hasil kerana ramai penjaga gol muda mula menerima sentuhan bekas pemain kebangsaan terbabit.
Statistik pertahanan skuad muda Gergasi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini juga cukup baik kerana hanya Kedah FA memiliki rekod lebih baik.
Jika terus diberi kepercayaan, tidak mustahil sekiranya Nasril boleh melangkah ke tahap lebih tinggi dengan menyertai pasukan utama Selangor FC.
3. Azlen Jabri (Perak FA)
Barisan kejurulatihan Perak FA musim ini dibarisi rata-rata bekas pemain kelab itu dalam usaha menghasilkan generasi baharu bola sepak di negeri berkenaan.
Salah seorangnya merupakan Azlen Jabri yang memikul tanggungjawab sebagai jurulatih penjaga gol selepas pernah beraksi buat skuad Seladang dalam kariernya.

Nasril pernah berada dalam barisan kejurulatihan Perak FC sebelum kini bersama skuad Seladang. — Facebook/Perak FA
Malah, ketika bersama kelab Utara tanah air itu, pemain berkenaan pernah merangkul dua kejuaraan iaitu Perak FA dan Piala Sumbangsih pada 2004.
Pengalaman dan kebolehan dicurahkan jelas membuahkan hasil kerana Perak FA kini merupakan antara pasukan terbaik tanpa perlu mengharapkan khidmat bintang import.
Untuk rekod, sebelum membantu pasukan Liga A1 Semi Pro itu, Azlen pernah bergelar jurulatih penjaga gol buat Perak FC selama empat tahun bermula 2021 sebelum kelab tersebut dibubarkan akibat isu pengurusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
