Kini bersama Kijang Emas, 3 ‘alumni’ Gergasi Merah sedia gegarkan MBPJ


  • Podium
  • Sabtu, 22 Nov 2025

Dari kiri; Htet Aung, Ifedayo dan Saravanan merupakan antara pemain Kelantan TRW yang pernah bersama Selangor FC sebelum ini.

TIGA mata penuh perlu dibawa pulang Selangor FC ketika menerima kunjungan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC bagi aksi Liga Super di laman sendiri pada Sabtu.

Ini kerana kemenangan tersebut boleh meletakkan skuad Gergasi Merah ke kedudukan lebih baik dalam carta dengan memintas Terengganu FC ke tangga keempat liga.

Malah, sekiranya berjaya membawa pulang tiga mata penuh, kelab Lembah Klang itu berpeluang mengembalikan kepercayaan dalam kalangan penyokong selepas prestasi terumbang-ambing kebelakangan ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Anggap bukan salah penyokong sendiri, Selangor FC fail rayuan hukuman FAM

BACA LAGI: Aksi atas padang Selangor FC sepatutnya selari dengan pujian ‘next level’ fans Persib Bandung

Aksi penting menanti skuad Gergasi Merah di laman sendiri. Facebook/Selangor FC

Tetapi, Selangor FC tidak boleh memandang kecil kebolehan skuad Kijang Emas yang memiliki elemen mengejutkan apabila berada di kedudukan ketujuh selepas sembilan perlawanan.

Meskipun turut berada dalam momentum tidak menentu, wakil Pantai Timur itu masih boleh melakar kejutan berdasarkan kualiti pemain boleh diturunkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Tidak cukup dengan itu, ada daripada pemain Kelantan TRW cukup memahami Selangor FC kerana pernah menyarung jersi Merah Kuning sebelum ini.

1. Ifedayo Olusegun

Nama yang sudah tentu segera melintas fikiran peminat Selangor FC sudah tentu Ifedayo Olusegun yang menghabiskan tiga musim di Lembah Klang.

Sepanjang tempoh berkenaan, penyerang kelahiran Nigeria itu mempamerkan aksi cukup cemerlang 50 gol direkodkan daripada 43 penampilan secara keseluruhan.

Bagaimanapun, rekod tersebut tidak dapat membantu menambah koleksi kejuaraan skuad Gergasi Merah apabila mereka berkali-kali dikecewakan di pentas domestik.

Ifedayo tampil sebagai tonggak utama skuad Kijang Emas musim ini. Facebook/The Real Warriors

Kini, selepas bermusim-musim, Ifedayo akan sekali lagi beraksi di hadapan ribuan penyokong Selangor FC dalam pertembungan di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu dengan kini buat pasukan lawan.

Penyerang berusia 34 tahun itu juga tidaklah asing dalam mengecewakan hati bekas majikannya itu apabila pernah meledak dua gol ketika aksi antara Melaka United dan Selangor FC pada 2022.

Ini merupakan satu amaran besar buat skuad kendalian Christophe Gamel itu, lebih-lebih lagi kerana prestasinya bersama Kelantan TRW musim ini cukup baik dengan enam gol sudah dijaringkan daripada 11 penampilan.

2. T Saravanan

Meskipun tidak berpeluang beraksi buat pasukan senior Selangor FC, T Saravanan cukup memahami kelab berkenaan kerana dia merupakan graduan skuad belia mereka.

Berdasarkan rekod, pemain sayap itu hanya beraksi 14 kali buat pasukan simpanan dalam Liga Perdana 2021 dengan dua gol dicatatkan bersama kelab terbabit.

Saravanan mula membuktikan dirinya bersama skuad Kijang Emas musim ini. Facebook/The Real Warriors

Menyedari peluang yang sukar bersama skuad Gergasi Merah begitu terhad, dia kemudiannya berkelana ke kelab lain sebelum berakhir di Kelantan TRW musim ini.

Jadi, perlawanan akan datang di Stadium MBPJ bakal memberi cabaran dan makna besar buat penyerang sayap berkenaan yang akan lebih bermotivasi dalam mengecewakan bekas pasukannya itu.

3. Hein Htet Aung

Pada musim pertama bersama skuad Gergasi Merah, Hein Htet Aung menjadi watak penting kelab terbabit dengan dua gol dan enam bantuan jaringan daripada 12 penampilan Liga Super 2021.

Namun, pada tahun berikutnya, pemain muda Myanmar itu berdepan kesukaran untuk merebut tempat dalam pasukan sehingga menyaksikan sumbangannya merosot.

Pulangan kurang memberangsangkan tersebut kemudian menyaksikan Selangor FC melepaskannya secara pinjaman ke Negeri Sembilan FC pada pertengahan musim 2023 dan kemudian perpindahan itu dikekalkan bagi Liga Super 2024/25.

Htet Aung sudah membawa perubahan buat skuad Kijang Emas musim ini. — Facebook/The Real Warriors

Sejak itu, Htet Aung pernah kembali ke Myanmar sebelum ditandatangani Kelantan TRW bagi musim 2025/26 untuk menajamkan lagi jentera serangan.

Kepercayaan tersebut mula terbalas apabila pemain berusia 24 tahun terbabit sudah merekodkan empat bantuan jaringan dalam sembilan penampilan secara keseluruhan.

Prestasi itu perlu diawasi benteng pertahanan Selangor FC sekiranya tidak mahu misi balas dendam pemain Myanmar berkenaan di Stadium MBPJ berjaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram