Bukan lagi Selangor, Skuad Jang destinasi terbaik 3 bintang Liga A1 jika mahu ‘naik pangkat’


  • Podium
  • Ahad, 16 Nov 2025

Skuad Jang masih diuji dengan masalah kekurangan pemain berkualiti. — Facebook/NSFC

SKUAD Negeri Sembilan FC (NSFC) antara kelab yang mendapat sorotan musim ini dek peningkatan positif berlaku dalam pasukan berkenaan sejak di bawah kendalian Nidzam Jamil pada awal musim.

Nidzam yang kembali menjadi jurulatih selepas meninggalkan Selangor FC pada 30 Oktober 2024 membuktikan kredibilitnya sebagai pengendali berkualiti dengan mengubah nasib skuad Jang.

Bayangkan sahaja, NSFC kini berada di kedudukan keeenam Liga Super selepas mencatat dua kemenangan, tiga seri dan selebihnya tewas hasil mengharungi lapan perlawanan.

BACA LAGI: 'Menarik...', CEO NSFC respons kes tuntutan pampasan Goulon cecah RM20 juta terhadap JDT

BACA LAGI: Aksi lawan NSFC bukan penentu, TFC belum ada kata putus masa depan Badrul Afzan

Bukan itu sahaja, Negeri Sembilan juga melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA pada musim ini sebelum akhirnya terkandas di tangan Selangor FC dengan keputusan agregat 6-3 secara agregat.

Walaupun begitu, skuad Jang masih diuji dengan masalah kekurangan pemain berkualiti dengan ia juga diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus.

Faliq yang menyedari banyak kepincangan dalam pasukannya tersebut tampil dengan jalan penyelesaian bahawa akan melakukan sesuatu pada jendela perpindahan kedua nanti.

Tidak usah berbelanja banyak untuk membawa masuk pemain dari kelab Liga Super, pengurusan NSFC boleh mula memantau pemain berkualiti dari saingan Liga A1 Semi Pro.

1) Anuar Ceesay

 

 

Pemain muda yang semakin menyinar, Anuar Ceesay perlu berada dalam radar Negeri Sembilan selepas aksi konsisten tonggak tengah itu bersama kelab Liga A1 Semi Pro, UM Damansara United.

Anuar yang mempunyai darah campuran Malaysia-Inggeris dan dibesarkan di London itu menjadi antara watak utama pasukannya dengan telah membuat enam penampilan setakat ini.

Tonggak berusia 22 tahun itu turut mencuri tumpuan di pentas lebih besar ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), apabila meledak dua gol pada minit ke-66 dan ke-74, meskipun UM Damansara tewas 3-5 kepada juara Liga Super itu.

Prestasi tersebut meletakkan Anuar sebaris dengan pemain sayap Negeri Sembilan, Jovan Motika yang sebelum ini turut menjaringkan dua gol menentang JDT dalam saingan Liga Super pada 12 Ogos lalu di Stadium Sultan Ibrahim.

Dengan beberapa pasukan dilaporkan sudah menyatakan minat, Negeri Sembilan perlu bergerak pantas sekiranya mahu mendapatkan khidmat Anuar bagi memperkukuh jentera tengah mereka menjelang musim baharu.

2) Abdul Rahman Daud

Abdul Rahman sudah meledak 13 gol untuk Selangor FC II. — Facebook/SelangorFC

Penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman Daud terus menunjukkan peningkatan positif apabila berjaya meledak 13 gol dalam 12 aksi setakat ini, menjadikannya antara pemain muda paling menonjol dalam skuad simpanan Gergasi Merah.

Aksi konsisten penyerang berusia 20 tahun itu turut menjadi faktor utama kepada kedudukan cemerlang Selangor FC II yang kini berada di tangga pertama Liga A1 dengan 32 mata.

Melihat kepada prestasi semasa, tidak mustahil barisan kejurulatihan Selangor FC akan mempertimbangkan peluang untuk menyerap Abdul Rahman ke skuad utama.

Bagaimanapun kehadiran Chrigor Moraes serta Willian Lira akan menyekat produk Akademi Mokhtar Dahari itu mendapat minit permainan, dan lebih baik jika Abdul Rahman berhijrah ke pasukan lain.

Dengan Negeri Sembilan mahu menambah pemain berkualiti menjelang jendela perpindahan kedua nanti, kehadiran Abdul Rahman dilihat mampu memberi nafas baharu kepada skuad Hobin Jang Hobin.

3) Daniel Hakimi

Antara pemain muda Perak FA yang menyerlah dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini ialah Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil, kini mula dilabel sebagai permata baharu dalam projek kebangkitan skuad Seladang.

Bagi penyokong Perak, nama Daniel Hakimi bukan lagi asing berikutan pemain berusia 20 tahun itu mula mencuri perhatian ketika diberi peluang beraksi dalam Liga Super musim 2024/2025.

Ketika itu, ketua jurulatih Yusri Che Lah memberi kepercayaan kepada pemain skuad Piala Presiden itu untuk tampil dalam 10 perlawanan, termasuk enam aksi Liga Super.

Aksi bertenaga dan persembahan konsisten itu menyaksikan Daniel Hakimi diserap secara penuh ke skuad Perak FA, di mana dia kini menjadi antara pemain kesebelasan utama dalam kempen Liga A1 Semi Pro.

Keupayaannya mengemudi bahagian tengah serta karakter permainan yang matang menjadikan Daniel Hakimi antara aset paling berharga kuad Seladang ketika ini.

Melihat prestasinya di usia muda, Daniel Hakimi turut sesuai menjadi calon ideal untuk pasukan seperti Negeri Sembilan FC yang kini giat menambah pilihan dalam jentera tengah menjelang jendela perpindahan nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram