PRESTASI merisaukan dialami Terengganu FC kebelakangan ini selepas keputusan demi keputusan dicatatkan, lebih-lebih lagi selepas tewas 0-5 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri.
Rentak tidak menentu itu menyaksikan skuad Sang Penyu jatuh ke tangga keempat Liga Super selain ditunjukkan jalan keluar dari Piala FA di tangan Kuching City FC.
Situasi tersebut menyebabkan rata-rata penyokong kelab Pantai Timur itu berasa berang dan mendesak perubahan dilakukan ke atas barisan kejurulatihan yang diketuai Badrul Afzan Razali.
BACA LAGI: Aksi lawan NSFC bukan penentu, TFC belum ada kata putus masa depan Badrul Afzan
BACA LAGI: Akhyar kembali, cuma Badrul Afzan kecewa hilang bek kental jumpa Kuching City

Skuad Sang Penyu dimalukan ketika menerima kunjungan JDT dalam perlawanan terakhir. — Facebook/Terengganu FC
Keluhan itu mula didengari pihak pengurusan yang sudah memanggil pengendali berkenaan, namun tiada perubahan ketara dapat ditonjolkan.
Jadi, kelainan diharapkan mampu ditonjolkan segera, terutamanya dalam perlawanan selepas ini menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu.
Perlawanan itu dapat menceritakan tahap sebenar Terengganu FC kerana umum mengetahui venue tersebut cukup kebal musim ini selepas hanya Selangor FC pernah pulang dengan kemenangan.
Meskipun terdapat kemungkinan jumlah kehadiran akan merosot akibat isu prestasi skuad Jang, suasana dan kemeriahan di stadium itu akan memberi tekanan hebat buat pasukan pelawat.
Sekiranya skuad Sang Penyu dapat mengatasi masalah itu, ia akan menceritakan keazaman pasukan kendalian Badrul Afzan untuk bangkit segera.

Skuad Jang sudah menjadikan gelanggang mereka sebagai sebuah kubu musim ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Kemenangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman juga dapat menjadi medan untuk mereka mempamerkan karakter selepas berdepan kritikan hebat daripada penyokong sendiri.
Bagaimanapun, jika tiada perubahan, tiba masanya pihak pengurusan lebih serius dalam memastikan musim Terengganu FC dapat berakhir di posisi yang baik.
Perlawanan itu turut memberikan ujian berbeza buat skuad Sang Penyu segera bangkit selepas kira-kira dua minggu 'berehat' untuk memberi laluan buat aksi peringkat antarabangsa.
Masa dimiliki tersebut seperti sudah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak kejurulatihan apabila sesi latihan berterusan tanpa pemain yang menabur komitmen buat negara masing-masing.
Tempoh dihabiskan di padang latihan itu memberi ruang untuk mengenal pasti masalah pasukan yang menyebabkan mereka sukar memberi aksi konsisten kebelakangan ini.

Waktu dihabiskan di padang latihan perlu membuahkan hasil buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Penyokong juga pasti mengharapkan perbezaan dapat ditampilkan skuad Sang Penyu yang memasang cita-cita besar melihat pasukan itu kembali ke landasan kemenangan.
Sekiranya tiga mata penuh dibawa pulang ke Pantai Timur, Terengganu FC boleh kembali menghidupkan peluang untuk merebut slot ke pentas Asia musim depan.
Mereka yang kini tujuh mata di belakang Kuala Lumpur (KL) City FC yang berada di kedudukan kedua Liga Super memerlukan sebanyak lapan mata di fasa pertengahan musim ini, bagi memintas posisi berkenaan.
Tetapi, andai kata kekalahan dialami, peluang itu sudah tentu tertutup, sekali gus membuatkan penyokong terus kempunan untuk melihat Terengganu FC berbuat demikian untuk musim ketiga berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
